PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menggubal dasar berkaitan subsidi petrol RON95 dengan mengambil kira perbezaan kos sara hidup di setiap kawasan.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan tidak boleh mengulangi kesilapan membuat penilaian secara umum sehingga akhirnya membebankan golongan kelas menengah bandar yang sudah terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.
“Langkah kerajaan menilai kelayakan subsidi bukan hanya berdasarkan pendapatan isi rumah, tetapi turut mengambil kira pemilikan rumah dan kereta mewah boleh diterima.
“Namun, bagaimana kerajaan mahu mentakrifkan ‘mewah’? Itu perkara penting yang perlu dijelaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengalaman lalu ketika pembatalan subsidi pukal diesel menunjukkan kelemahan dasar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyifatkan Toyota Hilux sebagai kereta mewah, tetapi akhirnya menimbulkan bantahan rakyat.
“Saya harap Perdana Menteri tidak lagi membuat kenyataan sesuka hati sebelum dasar diputuskan. Apabila rakyat membantah, jangan pula menuding jari kepada pembangkang kononnya menghasut, sedangkan kelemahan berpunca daripada kerajaan sendiri,” katanya.
Dominic berkata, selepas hampir setahun dibincangkan, pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 masih belum dimuktamadkan.
“Dari awal tahun hingga Jun, rakyat diberi keyakinan bahawa ia akan diputuskan pada September. Tetapi berdasarkan rekod, dasar kerajaan selalunya diumumkan dahulu, kemudian apabila didapati banyak kelemahan barulah ditampal sana-sini. Akhirnya, hanya membazirkan sumber,” jelasnya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada mekanisme subsidi mengambil kira realiti harga hartanah di kawasan bandar.
“Di Pulau Pinang, rumah dua tingkat berharga sederhana pun sudah lebih RM500,000. Adakah pemilik rumah sebegini akan terus dinafikan subsidi? Bagaimana pula individu berpendapatan rendah yang hanya mewarisi rumah pusaka bernilai tinggi, adakah subsidi mereka juga dipotong?” katanya.
Beliau berkata, sebarang mekanisme pemberian subsidi tidak boleh terlalu subjektif atau bersifat sambil lewa sehingga mengulangi kesilapan lalu.
“Gerakan berharap kerajaan menyesuaikan syarat penerima mengikut perbezaan kawasan, khususnya di luar bandar, Sabah dan Sarawak. Paling penting, kerajaan mesti telus ke mana wang penjimatan subsidi digunakan. Jika rakyat melihat manfaatnya secara langsung, tentangan akan berkurangan dengan sendirinya,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan subsidi bersasar diesel sebelum ini menimbulkan persoalan kerana jumlah penjimatan serta penggunaannya tidak pernah diumumkan.
“Disebabkan kelemahan dasar sebelum ini, keyakinan rakyat semakin merosot. Maka tidak hairan rakyat kini lebih berhati-hati dan skeptikal terhadap setiap dasar baharu kerajaan,” katanya. – UTUSAN










