LOS ANGELES: Bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung Min, dilaporkan semakin hampir menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC (LAFC) dengan majlis pengenalan rasmi dijangka berlangsung esok, menurut sumber yang disahkan kepada ESPN.
Son, 33, sebelum ini mengejutkan peminat bola sepak dunia apabila mengumumkan perpisahan rasmi dengan Tottenham Hotspur.
Berita itu sekali gus menamatkan tempoh satu dekad penuh kenangan Son bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, dia masih berahsia mengenai destinasi baharunya namun, segala persoalan mengenai masa depan pemain sayap lincah itu kini terjawab.
Sumber mendedahkan bahawa Son telah mencapai persetujuan untuk berhijrah ke LAFC dengan yuran perpindahan dianggarkan AS$26 juta (RM110 juta) sekali gus bakal memecahkan rekod perpindahan MLS yang sebelum ini dipegang oleh Emmanuel Latte Lath (AS$22 juta/RM93 juta) ketika perpindahannya ke Atlanta United musim lalu.
Perlawanan terakhir Heung Min bersama Spurs berlangsung pada Ahad lalu di Seoul bagi aksi pramusim menentang Newcastle United yang berkesudahan seri 1-1, ia menjadi pentas perpisahan yang cukup bermakna buat kapten skuad kebangsaan Korea Selatan itu di tanah air sendiri.
Kepindahan ke LAFC dijangka membawa angin baharu dalam kerjaya Son, selain menyuntik daya saing lebih tinggi dalam liga bola sepak utama Amerika Syarikat itu yang kini giat menarik pemain bertaraf dunia.-AGENSI