SOLAT berjemaah adalah syiar Islam yang agung. Bukan sekadar ibadah tetapi lambang perpaduan dan kesepaduan kasih sayang sesama Muslim.
Berkongsi bicara dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Al-Hijrah, Mukim Gong Pachat, Pasir Puteh, Kelantan, Tengku Azhar Raja Yunus berkata, masjid adalah nadi utama kehidupan dengan pelbagai fungsi ukhrawi dan duniawi.
Menurutnya, kefahaman mengenai solat berjemaah tidak cukup jika hanya dilihat daripada aspek hukum semata-mata, bahkan perlu dihayati dari segi hikmah dan kesannya kepada roh masyarakat Islam.
“Solat berjemaah dari segi syarak bermaksud mendirikan solat dengan mengikuti imam. Ia adalah sunnah muakkadah. Meninggalkannya tanpa sebab yang syarie adalah makruh.
“Pensyariatan solat berjemaah disebut secara nyata dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Antara dalil al-Quran yang menyokongnya adalah ayat 102 Surah al-Nisa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
Menurut Tengku Azhar, jika dalam keadaan perang Allah SWT tetap memerintahkan berjemaah, maka lebih-lebih lagilah dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
Katanya, antara kelebihan utama solat berjemaah adalah ganjaran pahala yang jauh lebih besar berbanding solat bersendirian sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Riwayat Muslim)
Tengku Azhar berkata, walaupun solat berjemaah di mana-mana tetap sah, namun solat fardu secara berjemaah di masjid adalah yang paling afdal.
IMAM TENGKU AZHAR RAJA YUNUS
Usia: 48
Asal: Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan
Sejarah pendidikan:
Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut
Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Dato’ Ismail
Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Dinnah, Gong Kemuning
Institut British – Malaysia
Tugas hakiki:
Imam Tua Masjid Al-Hijrah, Mukim Gong Pachat, Pasir Puteh, Kelantan
Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.” (Riwayat Muslim)
Katanya, langkah menuju masjid juga menghapuskan dosa dan mengangkat darjat.
Beliau menegaskan, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat pembangunan jiwa dan komuniti justeruj peranan jawatankuasa masjid amat penting dalam menggerakkan program-program yang menggalakkan kehadiran anak-anak mukim, khususnya golongan muda.
“Aktiviti pendidikan, sosial, motivasi, sukan dan seni Islam perlu dijadikan tarikan untuk mendekatkan belia ke masjid,”katanya.
Beliau juga mengingatkan perbuatan menjauhkan diri, enggan bersalaman dan kurang bergaul selepas solat—kesan daripada pandemik Covid-19 dahulu tidak wajar dibiarkan berterusan.
“Masjid perlu menjadi medan ukhuwah. Zikir, doa berjemaah, bersalaman selepas solat. Semua ini merapatkan hati, ukhwah sesama ahli khariah,” katanya.
Tengku Azhar turut menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir individu yang semakin lalai dalam menunaikan solat Jumaat.
“Jika ada yang sengaja meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, maka perlu diadakan pendekatan mendidik secara berhikmah agar mereka kembali ke pangkal jalan,” ujarnya.
Beliau berkata, solat berjemaah adalah simbol kekuatan dan perpaduan umat Islam, mengajar disiplin, kasih sayang, kepedulian dan hormat antara satu sama lain.
“Jika umat Islam mahu melihat kekuatan dan kemajuan, kembalilah ke masjid.
“Di situlah tempat kita disatukan, di situlah roh kita diperkuatkan. Jagalah masjid, dirikan solat berjemaah, rapatkan saf dan rapatkan hati,” terangnya. – UTUSAN










