SK Putrajaya Presint 11(1) harumkan nama negara

SK Putrajaya Presint 11(1) harumkan nama negara

GURU pembimbing inovasi, Mohd Saharudin Setapa (belakang tengah) bersama para pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 Putrajaya baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aplikasi Helpie tersenarai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

DI SEBALIK cabaran mendidik anak-anak generasi digital, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa empati, inovasi dan kasih sayang masih mampu menjadi nadi utama dalam dunia pendidikan.

Sekolah Berprestasi Tinggi dan Kluster Kecemerlangan itu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya disenaraikan 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pengiktirafan berprestij itu adalah hasil inisiatif murni dan kreativiti sekolah dalam membangunkan aplikasi mudah alih dinamakan Helpie, yang direka khas untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid.

Menurut guru pembimbing inovasi sekolah tersebut, Mohd. Saharudin Setapa, aplikasi berkenaan mula dibangunkan sejak tahun 2023 oleh pasukan guru dan murid sebagai modul pembelajaran tambahan khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Namun kandungannya kemudian dikembangkan bagi memberi kesedaran lebih luas tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

 

 

 

 

“Kami tidak mahu murid-murid datang ke sekolah dengan hati yang gelisah dan wajah yang muram. Kami mahu mereka gembira dan bebas menjadi diri sendiri. Itulah semangat di sebalik lahirnya Helpie,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.

Pernah memenangi Anugerah Wilayah Sekolah Paling Sihat AIA 2024 di Bali Indonesia di Peringkat Kebangsaan dan Asia Pasifik, Mohd. Saharudin berkata, idea membangunkan aplikasi itu tercetus semasa beliau mengendalikan topik berkaitan feelings dalam subjek Bahasa Inggeris.

Pembelajaran itu mendorong pasukan inovasi sekolah mencari pendekatan lebih interaktif untuk membantu murid mengenal pasti dan mengurus emosi mereka dengan lebih baik.

“Helpie ini bukan bertujuan untuk menyelesaikan tekanan mental secara terus, sebaliknya ia berfungsi sebagai modul kesedaran dan bahan pembelajaran bagi memupuk kefahaman awal dalam kalangan murid tentang pelbagai jenis emosi serta bagaimana untuk menghadapinya,” jelasnya.

Tambah beliau, aplikasi tersebut turut mempunyai ciri interaktif seperti permainan digital dan kad emosi yang turut direka secara luar talian, dan digunakan dalam kumpulan kecil murid melalui tablet di dalam kelas.
Menurutnya, aplikasi berkenaan pada asalnya menyasarkan murid tahun empat hingga tahun enam, namun setelah beberapa penambahbaikan dilakukan, ia kini boleh digunakan oleh murid seawal tahun satu.

Lebih membanggakan, impak aplikasi itu turut dapat dilihat dalam beberapa kes sebenar membabitkan murid yang sebelum ini menghadapi masalah seperti kurang keyakinan diri, gangguan emosi, serta kesukaran berkomunikasi dengan rakan sebaya.

“Ada murid yang takut datang ke sekolah, kurang komunikasi dan menyendiri. Tetapi selepas menggunakan modul ini, mereka lebih terbuka untuk berkongsi perasaan, lebih yakin berkomunikasi, dan hubungan mereka sesama rakan juga bertambah baik,” katanya.

Bagi Mohd. Saharudin, kejayaan tersenarai ke peringkat akhir anugerah dunia itu bukan semata-mata soal ganjaran, tetapi lebih kepada peluang untuk menyebar luas kesedaran tentang pentingnya kesejahteraan mental dalam kalangan murid sekolah rendah, yang semakin menjadi isu global.

“Kalau ada rezeki menang, kita mahu lebih ramai dalam komuniti sekolah seperti murid, ibu bapa dan guru, sekali gus menyedari betapa pentingnya menjaga kesihatan mental sejak usia muda.

“Kita mahu murid datang ke sekolah dengan rasa seronok dan rasa diterima,” katanya.

Sekiranya terpilih sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 dalam kategori berkenaan, sekolah itu berhasrat mengembangkan penggunaan Helpie secara lebih meluas, bukan sahaja dalam kalangan sekolah-sekolah sekitar Putrajaya, bahkan di seluruh negara dan peringkat antarabangsa.

 

Pada masa sama beliau mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar Helpie diangkat sebagai salah satu modul pembelajaran rasmi bagi mendidik murid tentang kesihatan mental secara berstruktur.

Projek Helpie pernah dibentangkan di peringkat antarabangsa, antaranya tersenarai 10 finalis semasa Sidang Kemuncak ‘I Can Children’s 2023’ di Ahmedabad, India dan memenangi Anugerah Emas bagi Anugerah Kreativiti dan Inovarif Antarabangsa (ICIA) 2024 di Bangkok Thailand.

Selain itu ia turut memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Pembentang Terbaik di Sidang Kemuncak Inovatif Tech Antarabangsa (IITS) 2024 di Beijing, China dan menjadi wakil pembentang dari Malaysia pada sambutan ‘Be The Change (BTC) Global 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kali ini, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia dijadualkan berlangsung pada Oktober ini. Finalis dan pemenang akan dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang akan diadakan di Abu Dhabi, UAE pada 15 dan 16 November depan.

Ia merupakan antara anugerah pendidikan paling berprestij di peringkat antarabangsa anjuran T4 Education, sebuah organisasi global yang menghimpunkan sekolah-sekolah terbaik dengan impak luar biasa kepada komuniti dan sistem pendidikan.

Ia merangkumi lima kategori utama iaitu Menyokong Kehidupan Sihat, Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi serta Mengatasi Cabaran.

Pemenang bagi setiap kategori akan dipilih oleh Akademi Juri Pakar berdasarkan kriteria yang ketat, manakala kesemua 50 finalis dari seluruh dunia turut akan bertanding dalam undian awam untuk merebut Anugerah Pilihan Komuniti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN