Polis tahan 105 PATI termasuk dua tekong darat, laut

Polis tahan 105 PATI termasuk dua tekong darat, laut

PATI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seramai 105 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua tekong darat dan laut serta pembantu ditahan polis dalam tiga operasi berasingan sekitar Sekinchan dan perairan Sabak Bernam, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian D3, Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman bersama agensi-agensi berkaitan terhadap sebuah rumah di Jalan JPT, Sekinchan; Jeti Sekinchan dan perairan Sabak Bernam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi pertama dekat sebuah rumah membawa penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 32 tahun dipercayai penjaga unit kediaman terbabit.

“Turut ditahan adalah 14 lelaki dan 22 perempuan bukan warga negara berusia antara 21 hingga 56 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kira-kira 30 minit sebelum itu, dalam operasi kedua polis menahan enam lelaki termasuk seorang pemandu bukan warga negara berusia 19 hingga 41 tahun ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah van di kawasan Jeti Sekinchan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pada masa sama seramai 59 termasuk 51 lelaki dan lapan perempuan berusia 16 hingga 50 tahun ditahan ketika rondaan bersama polis marin dan Tas Force MAPO memintas sebuah bot kayu jenis pom pom tanpa nombor pendaftaran.

Penahanan tersebut termasuk seorang tekong bot berusia 43 tahun dan dua lelaki pembantu berusia 35 dan 46 tahun.

“Polis turut merampas 13 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM157.

“Kesemua individu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Kata Shazeli lagi, polis komited membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan itu. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras jenayah itu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN