Shelton rangkul gelaran Masters pertama di Toronto

Shelton rangkul gelaran Masters pertama di Toronto

Ben Shelton dari Amerika Syarikat (AS) bergambar dengan trofi selepas menewaskan Karen Khachanov pada aksi perseorangan lelaki akhir Toronto Masters di Stadium Sobeys, Kanada. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Ben Shelton mencipta sejarah sebagai pemain Amerika Syarikat (AS) pertama dalam lebih dua dekad menjuarai Toronto Masters di Kanada selepas menewaskan Karen Khachanov dari Rusia 6-7 (5/7), 6-4, 7-6 (7/3) dalam final mendebarkan di Toronto, awal pagi tadi.

Kemenangan itu melonjakkan Shelton, 22, ke ranking keenam dunia, sekali gus memintas juara Grand Slam 24 kali, Novak Djokovic dalam senarai Persatuan Tenis Profesional (ATP).

“Ia satu perasaan yang sukar digambarkan, minggu ini sangat panjang dan laluan ke final bukan mudah.

“Tetapi permainan terbaik saya muncul tepat pada masanya dan saya bangga dengan cara saya bangkit dalam tekanan,” kata Shelton.

Dalam aksi yang berlangsung hampir tiga jam, Shelton menampilkan servis bertenaga dengan 16 ace meskipun beraksi dengan paha kanan berbalut akibat kecederaan otot.

Khachanov, pilihan ke-11, memenangi set pertama namun gagal menyekat kebangkitan Shelton yang menyelamatkan empat mata break sebelum menyempurnakan kemenangan dengan aksi penuh semangat di tie-break set ketiga.

Pertemuan itu turut dicemari gangguan teknikal sistem panggilan garisan elektronik, menyebabkan kekeliruan selama enam minit sebelum permainan disambung semula.

Shelton menutup kejayaan terbesar kariernya dengan memanjat ke tempat duduk penonton bagi memeluk bapa merangkap jurulatihnya, Bryan Shelton yang juga bekas pemain ATP. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN