Seorang parah, bas ekspres rempuh lori

Seorang parah, bas ekspres rempuh lori

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan seorang pemandu lori yang tersepit dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) dekat Alor Gajah, Melaka pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH : Seorang pemandu lori cedera parah selepas sebuah bas ekspres yang membawa sembilan orang penumpang merempuh dua buah lori dalam nahas di Kilometer 220.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat iaitu bas ekspres, lori treler jenis Scania dan lori Hino tujuh tan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan van Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu lori tujuh tan tersepit di tempat duduk dan mengalami kecederaan parah di kaki kanan selepas dirempuh bas ekspres berkenaan.

“Pemandu bas berusia 64 tahun bersama sembilan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga pemandu lori treler 14 tan jenis Scania, seorang lelaki berusia 56 tahun turut terselamat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan terbabit sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya sebelum bas ekspres tersebut gagal dikawal lalu merempuh bahagian belakang kedua-dua lori.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN