PETALING JAYA: Liga Super 2025-2026 bermula dengan langkah positif apabila semua 13 pasukan disahkan berjaya melengkapkan penghantaran dokumen bajet dan pra musim seperti yang ditetapkan di bawah peraturan Financial Fair Play (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab dan FFP MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, yang mengesahkan setiap kelab telah menyerahkan bajet lengkap, surat persetujuan daripada penaja, serta menjalani proses verifikasi oleh unit FFP.
Beliau berkata, pematuhan ini adalah sebahagian daripada keperluan di bawah Artikel 9(1) FFP bagi memastikan setiap kelab beroperasi secara berhemah dan mampan.
Jelasnya, prosedur baru berkenaan bagi membolehkan MFL mengetahui jumlah bajet yang akan digunakan kelab untuk pembayaran gaji dan caruman agensi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pemain, pegawai dan seluruh kakitangan kelab berdasarkan gaji tidak lebih daripada 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan.
“FIB bertanggungjawab meneliti dan menilai dokumen yang diserahkan untuk memastikan kelab-kelab mematuhi prinsip pengurusan kewangan yang mampan serta selari dengan kriteria FFP MFL yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Sheikh Mohd Nasir, berkata proses FFP kali ini lebih ketat di mana pemantauan dijalankan sebanyak lima kali sepanjang musim 2025/2026 ini.
“Sehubungan dengan itu, Unit FFP akan mengadakan pemantauan untuk lima kali bagi musim 2025-2026 di mana pihak kelab perlu menghantar deklarasi tunggakan dan laporan kewangan iaitu laporan pendapatan, perbelanjaan dan deklarasi gaji dan caruman agensi-agensi iaitu KWSP, LHDN, Perkeso untuk setiap dua bulan.
“Tarikh akhir penyerahan dokumentasi untuk pemantauan kali pertama adalah pada 16 Oktober 2025 untuk bulan Ogos 2025 dan September 2025,” katanya.
Tambah beliau, jika ada kelab yang gagal memenuhi peraturan berkenaan, hukuman sewajarnya akan dikenakan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran peraturan, FIB berhak menjalankan pemeriksaan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengenakan hukuman yang relevan.
“Jika kelab mempunyai sebarang tunggakan maka perkara tersebut akan dibawa kepada perhatian Pihak FIB untuk tindakan selanjutnya bawah Artikel 10 dan 14 (1)(B) semasa mesyuarat pemantauan pertama antara Unit FFP dan FIB,” ujarnya.-UTUSAN