Semakin ramai wanita muda alami kanser Endometrium

Semakin ramai wanita muda alami kanser Endometrium

GEJALA lain termasuk sakit pada pelvis, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan dan berasa sakit ketika membuang air kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanser endometrium atau dikenali sebagai kanser lapisan dalam rahim yang dulunya lebih kerap dialami wanita menopaus, kini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan wanita muda di negara ini.

Peningkatan kes kanser endometrium dalam kalangan wanita muda bawah 50 tahun ini cukup membimbangkan. Kanser endometrium adalah kanser kelima paling umum dalam kalangan wanita di negara ini dengan kadar kekerapan berlaku sebanyak 5.6 peratus.

Peningkatan yang tidak dijangka ini bukan sekadar anomali statistik tetapi adalah satu isyarat bahaya. Implikasinya terhadap wanita yang lebih muda adalah sangat mendalam kerana berdepan dengan cabaran untuk memelihara kesuburan sambil melawan penyakit yang tidak terjangka dihadapi pada usia muda.

Pakar Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Andi Anggeriana Andi Asri berkata, pakar kanser melihat peningkatan kes kanser endometrium dalam kalangan wanita berumur bawah 50 tahun, malah ada juga yang baru berusia awal 30-an.

“Bagi pesakit wanita yang masih muda, peningkatan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah turut menjejaskan kesuburan mereka.

“Terdapat wanita muda yang datang untuk memeriksa kesuburan atau ketidakseimbangan hormon tetapi dikejutkan dengan diagnosis bahawa mereka mengalami kanser endometrium. Ini sangat meluluhkan perasaan, terutama bagi yang merancang atau baru sahaja mula membina keluarga.” katanya.

Dr. Andi berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada trend ini dan ia adalah sangat kompleks.

Obesiti, gaya hidup kurang aktif dan masalah hormon seperti sindrom ovari polisistik (PCOS), adalah antara faktor yang boleh meningkatkan kadar estrogen dalam badan.

Estrogen yang tinggi boleh menyebabkan lapisan rahim menjadi tebal, dan ini mungkin menjadi pencetus terjadinya masalah ini.

Gejala kanser endometrium

Dr. Andi Anggeriana, seperti kanser lain, kanser endometrium tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.Bagaimanapun, terdapat beberapa gejala utama yang perlu diketahui wanita, tanpa mengira usia sekiranya mereka mengalami kanser ini.

“Pendarahan dalam rahim sama ada selepas menopaus atau pendarahan yang tidak normal, adalah simptom utama kanser endometrium yang paling kerap berlaku.

“Gejala-gejala lain termasuk sakit pada pelvis, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan dan kesukaran atau berasa sakit semasa membuang air kecil atau persetubuhan atau keputihan luar biasa,” katanya.

Katanya lagi, kanser endometrium, terutamanya pada peringkat awal, boleh dirawat dengan terapi yang dapat mengekalkan fungsi reproduktif. Bagaimanapun, pelan rawatan bergantung pada peringkat dan gred tumor atau ketumbuhan.

“Bagi wanita yang didiagnosis dengan kanser endometrium pada peringkat awal, terdapat kemungkinan untuk mengekalkan rahim dan merawat kanser menggunakan terapi hormon. Namun, pendekatan ini memerlukan pemantauan rapi dan membawa risiko seperti berulangnya kanser.

“Mereka yang terjejas kesuburan disebabkan keadaan ini boleh mengalami tekanan emosi dan psikologi yang ketara tambahan pula kebanyakan wanita muda yang diuji dengan penyakit ini masih belum berkeluarga atau mempunyai zuriat,” katanya.

Oleh itu, apabila menerima diagnosis menghidap kanser endometrium, ia amatlah mendukacitakan wanita muda.

Kehilangan kesuburan sering menambah beban emosi bagi diagnosis kanser. Oleh itu, sistem sokongan komprehensif amatlah penting dan diperlukan pesakit ini.
Pilihan rawatan dan kemajuan teknologi

Rawatan kanser endometrium disesuaikan berdasarkan keadaan pesakit, termasuk peringkat dan gred kanser, umur pesakit dan keinginan mereka untuk mengekalkan kesuburan.

Dr. Andi Anggeriana, rawatan utama adalah melalui pembedahan yang membabitkan pembuangan keseluruhan rahim atau histerektomi.

Ia juga mungkin memerlukan penyingkiran nodus limfa, diikuti dengan kemoterapi dan rawatan radiasi, bergantung kepada peringkat kanser.

“Terdapat juga terapi bersasar yang menggunakan ubat-ubatan. Bagi kanser di peringkat awal, terapi hormon mungkin menjadi pilihan wanita muda yang ingin mengekalkan kesuburan mereka.

“Bagaimanapun, pemantauan teliti diperlukan kerana adakalanya ia mengawal kanser dengan lebih lama sehingga menyukarkan wanita terbabit mendapatkan zuriat.

“Seiring kemajuan teknologi dalam rawatan kanser endometrium, pembedahan dengan bantuan robotik dalam onkologi ginekologi membolehkan pengasingan tisu kanser dengan ketepatan tinggi sambil mengekalkan tisu sihat di sekelilingnya,” katanya.

Mengenai faedah pembedahan dengan bantuan robotik, terutamanya bagi mereka yang mengutamakan pemulihan dan kualiti hidup, pembedahan itu menawarkan ketepatan lebih tinggi, hirisan lebih kecil dan masa pemulihan yang lebih cepat berbanding pembedahan konvensional.

Katanya lagi, pesakit dari semua peringkat umur akan mengalami kurang parut dan rasa sakit selepas pembedahan dan boleh kembali menjalani aktiviti seharian dengan lebih cepat.

Pengesanan dan kesedaran awal

Dr. Andi turut menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala, terutamanya bagi wanita yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, Sindrom Ovari Polikistik (PCOS), atau sejarah keluarga menghidap kanser.

“Sering­kali, pesakit datang untuk memeriksa kesuburan dan terkejut apabila mengetahui mereka menghidap kanser endometrium. Ini menunjukkan pentingnya untuk tidak mengabaikan gejala seperti pendarahan yang tidak normal, walaupun pada wanita lebih muda yang mungkin beranggapan mereka tidak berisiko.

“Kanser endometrium bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita lebih tua. Peningkatan kes dalam kalangan wanita lebih muda harus dijadikan peringatan kepada komuniti perubatan dan orang ramai untuk segera bertindak,”katanya.

Kemajuan dalam bidang teknologi seperti pembedahan dengan bantuan robotik memberi sinar harapan kepada pesakit untuk mendapat rawatan efektif dengan kesan sampingan minimal.

Bagaimanapun, pengesanan awal masih kunci untuk memelihara kesuburan dan memastikan hasil perubatan terbaik diterima pesakit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×