BERLIN: Bekas pelumba Formula Satu (F1), Ralf Schumacher mengkritik prestasi Lewis Hamilton bersama Ferrari musim ini yang disifatkannya sarat dengan drama.
Hamilton, 40, meninggalkan Mercedes lebih awal untuk menyertai Ferrari namun gagal menepati jangkaan pada separuh musim pertamanya.
Schumacher merujuk kegagalan Hamilton menyesuaikan diri dengan jentera SF-25, berbeza dengan rakan sepasukannya, Charles Leclerc yang konsisten di hadapan.
“Saya sudah kata sebelum musim bermula bahawa ini boleh jadi salah. Sekarang, saya lihat terlalu banyak drama daripadanya.
“Dia mengkritik pasukan, mengadu secara dalaman dan bergelut dengan kereta, itu tidak membantu sesiapa.
“Kereta itu sesuai dengan Leclerc, bukan dia. Mungkin dia sudah terlalu tua untuk menyesuaikan diri. Atau dia memang tidak mampu.
“Saya fikir keputusan memihak kepada Leclerc sudah dibuat lama. Tetapi saya tidak fikir dia akan berhenti pertengahan musim” kata Schumacher.
Di Grand Prix Hungary awal bulan ini, Hamilton tersingkir di Q2 (kelayakan) manakala Leclerc meraih petak utama, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas juara dunia tujuh kali itu.
Hamilton kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan 109 mata, ketinggalan 42 mata berbanding Leclerc dan Ferrari pula menghuni tangga kedua kategori pengeluar dengan kelebihan 24 mata ke atas Mercedes. – AGENSI