PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup satu lorong masuk di Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota, Lebuhraya Utara-Selatan bermula 23 Ogos ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan.
PLUS dalam kenyataan berkata, penutupan yang melibatkan lencongan laluan kenderaan berat ke plaza tol berhampiran itu akan bermula pada pukul 10 malam, 23 Ogos hingga 2 petang, 24 Ogos ini di Kilometer (KM) 289.00 lebuh raya berkenaan.
Katanya, langkah itu dilaksanakan sebagai usaha memberi keselesaan dan keselamatan lebih baik kepada pengguna lebuh raya.
“Sehubungan itu, pemandu kenderaan berat yang melebihi had lebar dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di plaza tol berhampiran sama ada menerusi Plaza Tol Southville City di KM294.15 atau Plaza Tol Bandar Baru Nilai di KM283.8 semasa tempoh kerja dijalankan,” katanya.
Katanya, pengguna turut disaran merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.
PLUS berkata, pengguna juga perlu mematuhi papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas ketika melalui kawasan terbabit.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik menerusi pembantu maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik serta paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan,” katanya. – UTUSAN








