TAVULLIA: Ketua pasukan VR46, Uccio Salucci mengakui bimbang dengan prestasi hambar Francesco Bagnaia musim ini apabila data perlumbaan menunjukkan seolah-olah juara dunia dua kali itu sudah ‘hilang sedikit motivasi’.
Salucci ketika ditemu bual TNT Sports mengakui keadaan itu sukar difahami kerana beliau tidak berada dalam pasukan Ducati, tetapi tetap menzahirkan kebimbangan selepas melihat prestasi Bagnaia.
“Saya ada bercakap dengannya selepas perlumbaan pecut dan saya kata, ‘tolong Pecco, Forza.’ Bila tengok datanya, dia tidak membrek dengan cara betul, tidak menunggang seperti sepatutnya.
“Seolah-olah dia hilang sedikit motivasi, juga keyakinan terhadap motosikalnya.Dia perlu kembali menunggang seperti Pecco Bagnaia sebenar, menikmati perlumbaan semula.
“Saya tahu ia tidak mudah, tapi tolong Pecco, cuba.Dia juara dunia dua kali, seorang pelumba hebat. Tidak elok melihatnya dalam keadaan sebegini. Saya tidak suka,” tegas Salucci.
Bagnaia, yang sebelum ini cukup digeruni di atas jentera Ducati, kini bergelut dengan musim paling sukar dalam kariernya apabila hanya mampu meraih satu kemenangan Grand Prix setakat ini dan jauh berbeza berbanding 11 kemenangan yang digondol tahun lalu.
Persembahan mengecewakan di Grand Prix Hungary minggu lalu menjadi titik paling rendah buat pelumba Itali itu.
Bukan sahaja gagal melepasi pusingan Kelayakan 1 (Q1) buat kali pertama musim ini, malah pulang hampa tanpa mata dalam perlumbaan pecut sebelum sekadar menamatkan aksi utama di tempat kesembilan.
Lebih pedih, Bagnaia kini jauh tercicir dalam perebutan kejuaraan apabila ketinggalan 227 mata di belakang rakan sepasukan, Marc Marquez, yang terus gah menguasai saingan dengan tujuh kemenangan penuh berturut-turut di Litar Balaton Park. – AGENSI