Sabah bantu siap pembinaan asrama Cahaya Kasih

Sabah bantu siap pembinaan asrama Cahaya Kasih

JOACHIM Gunsalam (tiga dari kanan) melawat asrama Cahaya Kasih di Kampung Malinsau, Ranau sedang dalam pembangunan. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Kerajaan Sabah sedia membantu menyelesaikan pembinaan bangunan asrama Cahaya Kasih di Kampung Malinsau Darat, di sini, yang tertangguh disebabkan kekangan kewangan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata kerajaan akan melihat terlebih dahulu keperluan untuk menyiapkan pembinaan asrama itu, sebelum menyalurkan sumbangan.

“Saya akan melihat apa yang perlu disumbangkan sama ada sumbangan kerajaan atau menerusi peruntukan wakil rakyat untuk memastikan kemudahan itu dapat diselesaikan pembinaannya.

“Asrama berkenaan berupaya menempatkan kira-kira 20 murid pada satu masa dibangun menggunakan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Gereja-Gereja Sabah,” katanya selepas meninjau projek itu, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif pembinaan bangunan asrama itu digerakkan penduduk Kampung Malinsau Darat bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gabungan untuk membantu murid yang tinggal jauh mudah datang ke sekolah.

Katanya, projek bernilai kira-kira RM230,000 itu turut menerima sumbangan tanah yang diwakafkan penduduk setempat yang prihatin terhadap kesukaran ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kerana jarak perjalanan yang jauh.

Pengerusi projek yang juga Guru Besar SK Gabungan, Rudi Burain berterima kasih kerana keprihatinan Dr Joachim, sekali gus bakal menyalurkan sumbangan untuk menyelesaikan pembinaan kemudahan yang tertangguh itu.

“Kami dalam komuniti ini sepakat membina asrama dengan bantuan NGO dari seluruh Sabah. Setakat ini, kemajuan pembinaan sudah mencecah 90 peratus, tetapi masih ada beberapa peralatan perlu disediakan sebelum boleh beroperasi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dengan bantuan kerajaan menerusi Dr Joachim, asrama itu bakal dapat digunakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, murid SK Gabungan murid bukan sahaja mendapat kemudahan penginapan, malah pelbagai aktiviti akademik dan kerohanian akan dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN