KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) FC gagal mengambil kesempatan ke atas Sabah FC yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Dalam aksi tersebut, Sabah yang dikendalikan Daniel Jane Paul bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat skuad Warga Kota 1-1 dengan kedua-dua jaringan dalam perlawanan itu terhasil pada babak kedua.
Pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari kelebihan awal, namun gagal menemui sentuhan jaringan.
Seminit sebelum memasuki bilik persalinan, Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila
Dean Pelekanos dilayangkan kad merah selepas mengasari Declan Lambert
Bersambung babak kedua, Risto Vidakovic melakukan pertukaran taktikal dengan mengeluarkan Kpah Sherman dan menggantkannya dengan pemain naturalisasi negara, Poulo Josue.
Gol yang dicari-cari KL City akhirnya terhasil pada minit ke-64 selepas percubaan Declan terbias Dane James Ingham untuk menumpaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Seminit kemudian, skuad Warga Kota hampir menggandakan kedudukan, namun percubaan menarik Josue berjaya ditepis kemas oleh Damien.
Pada minit ke-83, Manuel Hidalgo hampir menjaringkan gol kedua KL City, namun percubaan leretnya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Sabah.
Gol penyamaan Sabah terhasil pada minit-minit terakhir perlawanan menerusi tandukan Gabriel Peres, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Aksi Liga Super seterusnya menyaksikan KL City akan berdepan Penang FC, manakala Sabah akan menerima kunjungan Kelantan The Real Warriors di Stadium Likas.-UTUSAN