PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal menyajikan kelainan menerusi penganjuran Riuh Merdeka iaitu persembahan 30 jam tanpa henti.
Program berlangsung di Monumen Alaf Baru, Presint 2 itu antara pengisian menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjung.
Riuh Merdeka menampilkan 20 persembahan termasuk daripada artis terkenal serta tayangan filem terbuka pada pukul 12 tengah hari 30 Ogos ini sehingga pagi 31 Ogos.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan berkata, antara pengisian Riuh Merdeka termasuk penyediaan 50 vendor makanan, 30 vendor makanan tempatan, 10 bengkel dan empat pengaktifan kreatif.
Beliau berkata, acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2025 bermula seawal pukul 7 pagi dengan ketibaan pemimpin negara disusuli keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong.
“Acara kemudian disusuli dengan lafaz ikrar Rukun Negara, tembakan meriam 14 das serta perbarisan kontinjen membabitkan 81 penyertaan terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
“Sebanyak 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 ekor haiwan dan 21 kumpulan pancaragam akan menyertai perarakan utama sejauh 2.1 kilometer dari persimpangan berhampiran Dataran Putra,” katanya pada takilmat media sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di sini, hari ini.
Bagi menjamin keselesaan pengunjung, Julina berkata, pihaknya menyediakan 15,000 petak parkir di sekitar Presint 1, 8, 9 dan 18 selain kemudahan pengangkutan awam percuma merangkumi sebanyak 100 bas serta enam teksi air dari beberapa jeti utama sekitar tasik Putrajaya.
Menurutnya, bagi sambutan tahun ini juga, kapasiti tempat duduk bertingkat dinaikkan kepada 8,000 tempat berbanding 4,000 tempat tahun lalu.
“Kami juga menyediakan 12 skrin LED besar, 18 khemah perubatan, lima surau dan lebih 200 tandas mudah alih turut disediakan.
“Sebanyak 60 trak makanan akan menyertai festival makanan serta program Riuh Merdeka yang berlangsung sepanjang 30 hingga 31 Ogos di Presint 2 dengan pelbagai aktiviti rakyat termasuk tayangan filem terbuka,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Jualan Rahmah Merdeka Madani dengan kerjasama pelbagai pasar raya utama akan diadakan di seluruh negara mulai 15 Ogos bagi memastikan rakyat dapat menikmati barangan asas pada harga berpatutan, selain Kempen #BersamaMalaysia yang giat digerakkan sebagai aktiviti penghayatan kemerdekaan.
Jelasnya lagi, latihan raptai penuh dijadualkan pada 29 Ogos dan dibuka kepada orang awam yang ingin menyaksikan persiapan akhir sambutan itu.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal kerana penutupan jalan sekitar Putrajaya akan bermula jam 10 malam pada 29 Ogos sehingga jam 6 petang, 31 Ogos,” katanya. – UTUSAN