Rekod dunia 200m milik Lyles

Rekod dunia 200m milik Lyles

NOAH LYLES - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EUGENE: Jaguh pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles yakin dirinya berada di tahap terbaik menjelang Kejohanan Dunia bulan depan di Tokyo selepas mencatat kemenangan sensasi 200 meter (m) dengan catatan terbaik dunia di Kejohanan Olahraga AS, semalam.

Lyles, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 Paris bakal mempertahankan gelaran dunia 100m dan 200m di Jepun dengan sasaran untuk menyamai pencapaian Usain Bolt merangkul gelaran dunia 200m buat kali keempat berturut-turut.

Atlet berusia 28 tahun dari Florida itu memberi isyarat awal terhadap cabaran tersebut di Eugene apabila melakukan catatan masa 19.63 saat (s), sekali gus menjadi rekod dunia dalam perlumbaan sengit menentang Kenny Bednarek.

Lyles mengharungi musim tidak konsisten akibat kecederaan kecil di buku lali dan pangkal paha percaya prestasinya masih belum mencapai kemuncak dan kemenangan semalam menunjukkan petanda baik bagi peluangnya di kejohanan dunia.

“Kalau mereka tak boleh kalahkan saya sekarang, mereka takkan boleh kalahkan saya langsung.

“Saya dah nampak semua yang saya nak tengok dalam latihan, jadi saya hanya tunggu masa untuk semuanya diterjemahkan di trek. Saya dan jurulatih saya cakap bila sesuatu terjadi dalam latihan, ia ambil masa lebih kurang tiga minggu untuk dilihat dalam perlumbaan sebenar.

“Dan sekarang pun masih belum hampir dengan apa yang kami tengok dalam latihan, kami masih jauh tertinggal.

“Saya cuba untuk masuk sebanyak mungkin perlumbaan. Seperti yang anda semua boleh lihat, saya kurang perlumbaan setakat ini. Jadi saya kena terus tajamkan diri dengan lebih banyak pertandingan,” kata Lyles. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN