SPIELBERG: Tiada siapa perasan di mata peminat, namun Marc Marquez dan Marco Bezzecchi mengaku mereka berdua melakukan kesilapan yang sama ketika bertarung di Grand Prix Austria, semalam.
Perlumbaan penuh drama 28 pusingan itu akhirnya menyaksikan Marquez muncul juara selepas memintas Bezzecchi yang mendahului hampir dua pertiga saingan.
Bezzecchi terbabas sedikit di selekoh tiga lalu gagal menukar gear dengan sempurna, sekali gus membuka ruang buat Marquez untuk menyerang dan merampas kedudukan.
“Anda tahu apa kesilapan saya? Saya asyik melihat anda (Marquez), kemudian silap menukar gear antara kelima dan keenam,” kata Bezzecchi.
Marquez bagaimanapun mengakui dia juga melakukan kesilapan sama ketika bertarung dengan Francesco Bagnaia apabila terlalu asyik melihat lawannya sehingga enjin terkena rev limiter.
“Saya pun buat benda sama dengan Pecco (Bagnaia), saya tengok dia sampai rev limiter terhentak,” balas Marquez yang turut mengaku kesilapan sama.
Pertarungan makin sengit apabila Bezzecchi sempat membalas di selekoh enam, namun Marquez tidak memberi ruang besar seperti sebelum ini.
“Saya cakap pada diri, saya akan lawan sebab sebelum ini bila anda potong saya, anda terus buka jurang,” katanya.
Namun ketika Bezzecchi cuba memintas semula di selekoh keenam, Marquez sengaja membiarkan ruang terbuka kerana mahu melihat apa yang akan berlaku.
“Saya dengar anda datang, jadi saya biar pintu terbuka dan tunggu apa akan jadi,” kata Marquez. – AGENSI