HATYAI, THAILAND: Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand memperketatkan prosedur untuk dapatkan pengesahan pernikahan bagi rakyat Malaysia yang bernikah di negara itu dengan menetapkan tempoh pemprosesannya lebih panjang iaitu selama tiga hari, berbanding dua hari sebelum ini.
Langkah itu diambil susulan peningkatan mendadak jumlah permohonan pengesahan pernikahan dan untuk memastikan ketelusan proses dokumentasi juga untuk mengelakkan kesilapan maklumat pada borang pengesahan yang boleh menyusahkan pasangan apabila kembali ke tanah air.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pihaknya menerima purata 15 pasangan sehari yang hadir untuk mengesahkan perkahwinan mereka, malah pada hari tertentu jumlahnya mencecah sehingga 30 hingga 40 pasangan.
“Sebelum ini kami cuba selesaikan pengesahan pernikahan mereka dalam tempoh sehari tetapi banyak kesilapan yang berlaku seperti cetakan salah nama, tarikh atau nombor kad pengenalan pada borang yang diisi.
“Apabila pasangan tersebut pulang ke Malaysia, barulah mereka menyedari kesilapan itu dan untuk membuat pembetulan, mereka terpaksa datang semula ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Jadi, kami tambah masa pemprosesan pengesahan pernikahan kepada tiga hari bagi memberi ruang semakan teliti dan mengurangkan kesilapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Muhibbah Mesra Media Selatan Thailand-Malaysia di Hatyai, baru-baru ini.
Ahmad Fahmi menegaskan, tanggungjawab pejabat konsulat bukan hanya menguruskan pengesahan urusan nikah semata-mata tetapi meliputi permohonan visa, pendaftaran kelahiran, urusan kematian dan kes kemalangan yang melibatkan rakyat Malaysia di Thailand.
“Kalau berlaku kematian, kami perlu berhubung dengan pihak berkuasa sempadan untuk membawa pulang jenazah dan menyiapkan dokumentasi berkaitan. Semua ini menuntut perhatian dan tenaga kerja yang besar,” katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan pihak konsulat tidak lagi membenarkan ejen perkahwinan menguruskan pengesahan pernikahan pasangan hingga di dalam pejabat konsulat.
Katanya, pernah berlaku ejen membawa masuk sehingga 20 pasangan serentak untuk proses mendapatkan pengesahan pernikahan.
“Dalam keadaan sedemikian, kami tidak dapat memastikan kesahihan identiti pasangan yang terlibat dan lebih membimbangkan, pernah wujud sindiket nikah tidak sah yang dijalankan di Malaysia dan Thailand oleh pihak tidak bertauliah.
“Langkah mengehadkan peranan ejen dalam proses mendapatkan pengesahan pernikahan di pejabat konsulat bertujuan melindungi rakyat kita daripada terjebak dengan perkahwinan bermasalah dari sudut undang-undang,” katanya.
Begitupun, Ahmad Fahmi berkata, terdapat pengecualian dalam keadaan tertentu, khususnya bagi pasangan sudah berusia yang tidak berdaya untuk hadir ke pejabat konsulat. – UTUSAN










