Program perkhemahan bentuk sahsiah, disiplin murid SK Banggu

Program perkhemahan bantu bentuk sahsiah, disiplin murid SK Banggu

MUIRD SK BANGGU teruja dengan program perkhemahan yang mereka anjurkan baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Deruan angin laut Tok Bali menyambut kedatangan ratusan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu yang berkumpul di Pinggir Bali Campsite bagi menyertai Perkhemahan Unit Beruniform 2025 selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos lalu.

Dengan wajah ceria bercampur debaran, seramai lebih 200 murid tahap dua daripada pelbagai pasukan beruniform seperti Pengakap, Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Pandu Puteri, Puteri Islam dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hadir dengan semangat berkobar-kobar untuk mengharungi pengalaman berharga itu.

Program anjuran Unit Kokurikulum SK Banggu ini bukan sahaja bertujuan mengisi masa lapang pelajar, malah menjadi wadah pendidikan luar bilik darjah yang membentuk sahsiah, disiplin dan kepimpinan.

Guru Besar SK Banggu, Md. Roslan Mohamad, selaku penasihat program berkata, perkhemahan ini mampu menjadi medium terbaik untuk memupuk nilai-nilai murni yang tidak dapat diajar sepenuhnya melalui pengajaran formal.

“Melalui perkhemahan, murid dididik secara praktikal tentang pentingnya bekerjasama, saling membantu, bertolak ansur serta berdisiplin dalam menguruskan diri. Semua nilai ini sangat penting untuk membentuk mereka menjadi insan seimbang sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Oleh kerana jadual aktiviti perkhemahan padat sejak hari pertama. Murid yang baru mendaftar terus diuji dengan aktiviti mendirikan khemah, yang menuntut kerjasama erat antara ahli kumpulan.

Ada yang kelihatan kekok pada awalnya, namun dengan bimbingan guru dan ketua unit, setiap kumpulan berjaya menyediakan tempat berteduh mereka sendiri.

Petang hari pertama dipenuhi dengan taklimat keselamatan, minum petang, serta sesi kerohanian dan bacaan Yassin selepas solat Maghrib. Suasana malam dimeriahkan dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang menguji kemahiran komunikasi dan kreativiti murid dalam menyelesaikan tugasan yang diberi.

Hari kedua lebih mencabar dengan pelbagai acara lasak termasuk senaman pagi, aktiviti halangan, pertandingan kawad kaki, simpulan dan ikatan, serta demonstrasi pertolongan cemas. Peserta perempuan turut menyertai solat berjemaah di khemah solat, manakala peserta lelaki berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

Pada waktu petang , acara paling mendapat perhatian adalah pertandingan memasak yang menyaksikan pelbagai menu kreatif dihasilkan oleh kumpulan peserta menggunakan bahan terhad.

Walaupun ada masakan yang hangit, semangat setia kawan yang ditonjolkan menjadikan pengalaman itu manis untuk dikenang.

Pada waktu malam pula diisi dengan pertandingan kebudayaan. Pelajar mempersembahkan sketsa, tarian tradisional, nasyid dan deklamasi sajak. Kreativiti mereka mendapat tepukan gemuruh daripada rakan-rakan dan guru. Semua ternyata memupuk semangat setia kawan

Hari terakhir perkhemahan pula memberi ruang kepada peserta untuk menonjolkan disiplin melalui kawad pagi dan majlis penutup. Hadiah disampaikan kepada kumpulan terbaik dalam kategori kawad kaki, kebudayaan, memasak dan pertolongan cemas.

 

 

Pengerusi program, Nik Roseli Nik Yahya, berkata, bahawa penganjuran perkhemahan tidak hanya memfokuskan kepada aktiviti fizikal, sebaliknya menekankan pembentukan karakter dan nilai patriotisme.

“Kami mahu pelajar sedar bahawa setiap cabaran yang mereka hadapi, sama ada ketika mendirikan khemah, memasak atau berkawad, sebenarnya adalah latihan hidup yang mengajar mereka tentang kerjasama, tanggungjawab dan kasih sayang kepada rakan serta negara,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, melalui perkhemahan, murid dapat memahami betapa pentingnya menghormati pemimpin, patuh kepada arahan serta menjaga kebersihan alam sekitar. Semua ini akan menjadi bekalan berharga apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kelak.

Bagi guru pengiring, Muhammad Hafiz Mohammad Zamri, pengalaman mengiringi murid sepanjang tiga hari itu memperlihatkan perubahan positif dalam diri mereka.

“Ada murid yang sebelum ini agak pendiam, tetapi ketika perkhemahan mereka berani bercakap di hadapan kumpulan. Ada juga murid yang kurang berdikari di rumah, tetapi di sini mereka boleh mengurus diri dengan baik. Inilah keberkesanan pendidikan kokurikulum,” katanya.

Sementara itu, murid tahun enam, Nur Anis Adriana Muhammad Azihan, mengakui cabaran memasak dan mendirikan khemah memberi pengajaran berharga.

“Saya belajar cara ikat tali, cara kawal api masa memasak dan pentingnya bekerja sama dengan kawan. Walaupun penat, pengalaman ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Rakan sepasukannya, Muhammad Afiq Ashraf Mohd. Zainuddin, pula berkata aktiviti halangan membuatkan dia lebih berani dan yakin.

 

 

 

“Mula-mula saya takut panjat palang, tapi apabila kawan-kawan bagi semangat, saya cuba juga. Rasa puas hati apabila berjaya. Saya belajar jangan cepat putus asa,” ujarnya.

Perkhemahan tersebut dilaksanakan dengan bajet keseluruhan RM20 212, hasil kutipan sekolah, sumbangan PIBG, guru serta murid. Wang tersebut digunakan bagi menyediakan makanan, khemah, logistik dan hadiah.

Md. Roslan berkata, kejayaan perkhemahan tersebut membuktikan pentingnya kerjasama semua pihak.

“Tanpa sokongan PIBG, guru, ibu bapa dan komuniti setempat, program sebesar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan. Ia membuktikan bahawa pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Program tersebut membuktikan keberkesanannya sebagai platform mendidik murid dalam aspek kepimpinan, sahsiah, disiplin dan jati diri.

Menurut seorang pegawai kokurikulum daerah yang hadir pada majlis penutup, perkhemahan ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk melahirkan generasi yang seimbang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN