Pesan Sang Sapurba mengajak pembaca mengenali sejarah

Pesan Sang Sapurba mengajak pembaca mengenali sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN Puisi yang dihasilkan penulis A. Ghani Abdullah mengandungi 86 puisi membawa isu pelbagai serta mengajak pembaca mengenali sejarah, kemanusiaan dan alam sekitar termasuk memartabatkan maruah bangsa dan negara.

Sang Sapurba, nama anak raja dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain terdapat kisahnya di dalam Sejarah Melayu mempunyai sikap bertanggungjawab, budaya dan akhlak yang tinggi.

Puisi yang dilahirkan A.Ghani Abdullah melalui anjakan-anjakan makna. Maksudnya di sini: rangkap demi rangkap di anjak dari satu perenggan dari atas ke perenggan bawah dengan bahasa puitis bagi menerangkan maksudnya kepada pembaca.

Dalam rangkap inilah A.Ghani Abdullah melahirkan idea yang berbaur dengan perasaannya. Melalui puisi Laluan Terhenti menceritakan tentang kehidupan yang tenang menjadi kacau bilau apabila berlakunya peperangan.
…tiba-tiba laluan / tersentak matahari dan langit /satu persatu burung gugur /ditembak-dibom / bertaburan padang awan /langit huru-hara /awan berlari pulang.

Sementara, puisi Hari Luka Sejarah mengisahkan tentang tindak tanduk penjajah yang menjarah bumi kita. Tanah Melayu pernah dijajah bangsa Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.

Selain bangsa Eropah, Tanah Melayu juga pernah dijajah oleh Jepun. Pahit getir yang dialami oleh penduduk pribumi mendorongkan A. Ghani Abdullah melahirkan puisi Hari Luka Sejarah. – …tenggelam kerana kebakaran / sebuah kias mendalam / harta bangsa curian penjajahan / rasa terhina di tangan kejam.

Sementara itu, puisi Renungan proses yang berlaku di dalam fikiran penulis dan diperkukuhkan dengan kisah-kisah yang melibatkan istana perkenalan Wan Empuk dengan Nila Pahlawan@ Sang Sapurba membawa ke jenjang pelamin.
…maka takdir pun berlaku / Nila Pahlawan di satu / Wan Empuk pun bersetuju / Ke pelamin mereka malu-malu.

Jampi dan mantera tidak asing dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala. Ia dijadikan perubatan tradisi yang menggunakan roh halus bagi mengukuhkan sesuatu tujuan. Dorongan dari ini juga, penulis menukilkan puisi bertajuk keris. Mantera ini dijadikan pemujaan bagi memperkasakan keris itu sendiri. Senjata ‘Keris’ sungguh terkenal dengan sikap kepahlawanan Melayu zaman beraja satu ketika dahulu. Semangat keris ini dipuja melalui mantera yang dinyatakan pada rangkap berikut:
…dengan asap kemenyan turunan / bermandi limau rumpun perjuangan / keris dipersembahkan ke tangan / dibunuh segala lembaga melebar kebimbangan.

Selain itu, A.Ghani Abdullah juga seorang pemerhati persekitarannya. Penulis melihatkan pohon-pohon ditebang dan tanah diratakan untuk tujuan projek-projek pembangunan.

Kemusnahan hutan ini menyebabkan tiada lagi kicauan burung-burung di waktu pagi. Udara sekitar menjadi tercemar dengan adanya pembakaran terbuka. Penulis telah menukilkan puisinya dengan tanda tanya: “Apa Terjadi” melalui rangkap yang berikut;

…muncul sesuatu yang dilihat/ seperti ribuan semut duduk / sebuah tikar daun lebar kemudian digulung/ke mana perginya sebuah padang / akan dibentangkan keluar ke taman bunga / atau ke gunung sampah api bernyala-nyala.

Nostalgia A.Ghani Abdullah juga membawa pembaca meninjau sawah padi yang semakin kurang diusahakan. Sawah padi yang terbiar telah ditambak dengan tanah untuk dijadikan tapak perumahan.

Tanah itu mempunyai semangat padi yang telah hilang setelah kawasan sawah itu pernah diusahakan generasi yang terdahulu. Penulis telah menjadi suasana sekarang yang telah jauh berubah sebelum ini.

Dalam puisinya yang bertajuk Semangat Padi, penulis melahirkan rangkap puisinya begini: ‘Ada kerbau / membajak sawah/ rumput merantau/habis dipunggah/gembira padi…

A. Ghani Abdullah mengibaratkan orang yang sudah meniti usia senja ini seperti sebatang pohon. Seorang tua yang melalui proses penuaan mengalami pelbagai penyakit. Seorang tua dikelilingi anak-anak dan cucunya. Ini menjadikan dirinya dihargai. Tidak semua orang tua bernasib baik kerana ada segelintir dipinggirkan oleh anak-anak dan dihantar ke Rumah Orang Tua.

 

ULASAN BUKU
Judul: Pesan Sang Sapurba
Genre: Kumpulan Puisi
Pengarang: A.Ghani Abdullah
Harga: RM 40.00
Tahun: 2025
Penerbit: Perunding Kreatif Strategi, Semenyih, Selangor.

 

Pemerhatian penulis yang tajam ini dan melihatkan suasana golongan orang tua ini, penulis mengukirkan puisinya yang bertajuk Pohon:
…usah bersedih terhiris / rama-rama masih datang/bermain renjis-renjis/ masih ada yang sayang/…

A.Ghani Abdullah menimba ilhamnya setelah melihat perselisihan faham yangberlaku dalam kalangan saudara-mara atau adik beradik dari satu aras yang lebih tinggi. Apa yang dilihatkan persengketaan ini mencetuskan permusuhan dan dendam yang berpanjangan.

Pemerhatian yang dilihatkannya mendorongkannya rasa marah lalu menukilkan sebuah puisi yang bertajuk: Sesekali Laut Meluah Kata; ‘…jika demikian laut menyeru / hapuskan helang dengan ribut batu/ burung auta dicucuk mata dengan paku/ bangkainya dibuang ke anjing seribu,’…

Begitulah sebahagian puisi-puisi yang dihasilkan oleh A.Ghani Abdullah dalam kumpulan puisinya yang bertajuk ‘Pesan Sang Sapurba’ yang mempunyai makna-makna yang pelbagai dan tersembunyi untuk dikupas oleh pembaca yang budiman. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN