PETALING JAYA: Penganjuran Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Kuching, Sarawak hari ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh perlindungan kewangan, kesihatan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, inklusiviti dan daya tahan masyarakat.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap lapisan rakyat, khususnya golongan B40 mendapat perlindungan menyeluruh agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di Samariang.
Karnival anjuran mySalam bersama Great Eastern Takaful Berhad (GETB) itu berjaya menarik hampir 3,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ia menyediakan platform menyeluruh merangkumi literasi kewangan, kesihatan percuma dan sumbangan kebajikan kepada komuniti Bumi Kenyalang.
Sejak diperkenalkan pada 2019, skim mySalam yang diuruskan GETB telah menyalurkan manfaat tuntutan berjumlah RM1.25 bilion kepada lebih 1.74 juta penerima, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar kerajaan dalam menyokong golongan berpendapatan rendah.
Ketua Skim Perlindungan mySalam, Syuhaib Ithnin berkata, karnival itu bukan sahaja menyalurkan bantuan tetapi juga memberi ilmu, akses dan peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara holistik.
Selain sesi literasi kewangan, karnival turut mempromosikan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM30 yang boleh ditebus bermula 1 September 2025, menyediakan saringan kesihatan percuma melalui Skim PeKa B40 serta mengagihkan 140 bakul makanan kepada keluarga asnaf.
Pelbagai aktiviti komuniti seperti sukan rakyat, taklimat alam sekitar, larian merdeka dan cabutan bertuah turut diadakan bagi mengeratkan hubungan masyarakat serta menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan. – UTUSAN