MANCHESTER: Jaringan penalti kapten Manchester United, Bruno Fernandes pada masa kecederaan separuh masa kedua memastikan United meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas pendatang baharu, Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi.
United yang baru sahaja dimalukan Grimsby Town dari divisyen keempat dalam saingan Piala Liga, tampil garang di hadapan penyokong sendiri dan mendahului menerusi jaringan sendiri Josh Cullen pada minit ke-27.
Namun, kegagalan menyudahkan beberapa peluang terhidang mengundang padah apabila Burnley menyamakan kedudukan pada awal babak kedua hasil jaringan Lyle Foster.
Hanya dua minit selepas itu, Bryan Mbeumo meletakkan skuad bimbingan Ruben Amorim kembali di depan.
Kesilapan benteng pertahanan dan penjaga gol sekali lagi menghukum tuan rumah apabila Jaidon Anthony menyempurnakan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-67.
Saat perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Fernandes tampil tenang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-95 selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran ke atas Amad Diallo.
Kemenangan ini melegakan The Red Devils yang berdepan tekanan selepas aksi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini, sekali gus memberi suntikan moral menjelang jadual padat bulan September.
Dalam aksi lain, Chelsea mengukir kemenangan meyakinkan 2-0 di Stamford Bridge, manakala Tottenham Hotspur pula dikejutkan Bournemouth selepas tunduk 0-1 di hadapan penyokong sendiri.-AGENSI