PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) membantah tindakan tergesa-gesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mahu membawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu depan.
Timbalan Ketua DPPM, Mohd. Hafez Sabri berkata, langkah itu bukan sahaja membelakangi suara rakyat, malah mengabaikan pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta sebahagian Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
“Pembentangan secara terburu-buru ini menimbulkan persoalan besar tentang niat sebenar kerajaan dalam memaksa pelaksanaan undang-undang kritikal yang menyentuh masa depan pemilikan hartanah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JKPK melalui surat rasmi bertarikh 20 Ogos lalu telah meminta bacaan kali kedua RUU PSB ditangguhkan sehingga isu-isu pokok termasuk nilai ambang persetujuan pemilik diperjelaskan.
“Ini membuktikan bantahan terhadap RUU ini bukan hanya datang daripada pembangkang, malah turut dizahirkan oleh institusi Parlimen sendiri,” katanya.
Mohd. Hafez berkata, nilai ambang yang dicadangkan iaitu 70 peratus untuk bangunan berusia melebihi 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan bawah 30 tahun adalah lebih rendah daripada piawaian antarabangsa.
“Hong Kong menetapkan 90 peratus, Singapura 80 peratus. Malah Ahli Parlimen kerajaan turut menggesa supaya ambang dinaikkan kepada 85 peratus demi melindungi hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah,” katanya.
Katanya lagi, RUU PSB juga dilihat bercanggah dengan beberapa undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.
Turut menimbulkan kebimbangan, katanya, ialah kuasa meluas yang diberikan kepada Menteri tanpa penjelasan terperinci sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia boleh melangkaui kuasa kerajaan negeri, Sultan dan Yang di-Pertuan Agong.
“Potensi penyalahgunaan kuasa amat membimbangkan, apatah lagi melibatkan tanah rizab Melayu dan hak milik individu,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan kerajaan dalam isu ini menunjukkan kelemahan mendengar suara rakyat serta keengganan mempertimbangkan pandangan wakil rakyat yang dipilih secara sah.
“RUU ini melibatkan hak pemilikan tanah, pampasan, perumahan kos rendah dan masa depan rakyat marhaen di bandar. Ia tidak boleh dibawa secara gopoh atau dipaksakan demi kepentingan politik dan pemaju,” katanya.
Justeru katanya, DPPM menyeru rakyat khususnya golongan muda bangkit mempertahankan hak pemilikan tanah dan kediaman mereka.
“Kerajaan mesti hentikan sikap angkuh dan kembali menghormati suara Parlimen serta hak rakyat. Pemuda Pas menegaskan sebarang rang undang-undang yang menyentuh hak rakyat mesti dibentang secara telus, cermat dan adil,” katanya. – UTUSAN










