Pemain No.1 dunia warnai kejohanan Piala Malaysia

Pemain No.1 dunia warnai kejohanan Piala Malaysia

Pengerusi PANAS Group merangkap penganjur kejohanan, Vincent Siow Wei Sern(tengah) ketika Sidang akhbar PPA Piala Malaysia 2025 di 9Pickle Setia Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIA ALAM: Kehadiran pemain Pickleball No.1 dunia, Ben Johns, pada Kejohanan PPA Asia Tour Piala Malaysia dijangka menjadi detik bersejarah dalam perkembangan sukan pickleball negara.

Pengerusi PANAS Group merangkap penganjur kejohanan, Vincent Siow Wei Sern berkata, Malaysia bertuah apabila buat julung kali menjadi tuan rumah saingan bertaraf dunia yang menampilkan barisan pemain elit antarabangsa.

“Apabila Ben Johns bersetuju untuk datang, saya sendiri terkejut. Ini umpama mimpi jadi kenyataan kerana beliau bukan sahaja ikon pickleball, malah pemain terbaik dunia. 

“Kehadirannya akan melonjakkan imej Malaysia di peta sukan antarabangsa,” katanya Ketika Sidang akhbar PPA Piala Malaysia 2025 di 9Pickle Setia Alam.

Menurut Vincent, PPA Asia Tour Malaysia yang berlangsung tahun ini adalah kesinambungan daripada kejayaan menganjurkan siri pertama di Kuala Lumpur pada Julai lalu, sekali gus membuktikan kemampuan negara sebagai hab sukan baharu di rantau Asia.

Katanya, cabaran penganjuran bukanlah mudah kerana kos yang tinggi dan syarat teknikal yang ketat, namun kejayaan menarik lebih 10 pemain bertaraf dunia adalah bukti keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia.

“Dari segi tahap pertandingan, saya beri 9.5 daripada 10. Hanya faktor bencana alam sahaja yang kita tidak mampu kawal. 

“PPA menetapkan piawaian yang sangat terperinci, malah semua aspek diuruskan secara mikro. Ia satu pengalaman yang mencabar tetapi berbaloi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, faktor kekuatan Malaysia terletak pada ekosistem dan masyarakat yang mudah menerima perubahan serta kemampuan berbahasa Inggeris, sekali gus memudahkan urusan komunikasi dengan atlet luar negara.

Selain Ben Johns, kejohanan ini turut dijangka disertai beberapa nama besar lain yang akan diumumkan tidak lama lagi. 

Malaysia juga bakal menampilkan barisan pemain muda tempatan yang berpotensi besar dalam sukan baharu ini.

“Pickleball di Malaysia masih baharu, tetapi perkembangannya sangat pantas. Ramai pemain dari badminton, ping pong dan tenis sudah mula menceburi sukan ini kerana kelajuan permainan yang mencabar. 

“Saya percaya dalam tempoh satu hingga dua tahun, lebih ramai bakat tempatan akan menyerlah di peringkat antarabangsa,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN