LONDON: Pemain Chelsea akan menyumbang sebahagian daripada bonus kemenangan Piala Dunia Kelab kepada keluarga mendiang Diogo Jota yang meninggal dunia, bulan lalu.
Seramai 24 pemain Chelsea yang terlibat dengan kejohanan itu akan menerima jumlah keseluruhan bonus sebanyak RM65 juta selepas menjuarai Piala Dunia Kelab.
Bintang-bintang The Blues telah memilih untuk melepaskan sebahagian daripada bonus mereka bagi mengumpul dana untuk balu Jota selepas pemain Liverpool itu maut dalam satu kemalangan jalan raya tragik bersama adiknya, Andre Silva, serta meninggalkan tiga orang anak.
Pemain dan pihak pengurusan Chelsea turut membuat keputusan sama bagi melepaskan sebahagian daripada bonus mereka.
Bagaimanapun, berapa jumlah peratusan daripada bonus terbabit belum diketahui untuk disumbangkan kepada keluarga Jota.
Setiap pemain sepatutnya menerima RM2.7 juta hasil daripada kejayaan mereka memenangi kejohanan itu namun jumlah keseluruhan bonus tersebut akan dikurangkan oleh cukai dan potongan keselamatan sosial sebelum sumbangan ikhlas kepada keluarga Jota dilakukan.-AGENSI