GAZA: Bekas pemain pasukan kebangsaan Palestin, Suleiman al-Obeid yang digelar ‘Pele Palestin’ maut akibat ditembak tentera Israel ketika menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Gaza, menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
Obeid, 41, merupakan legenda kelab Khadamat Al-Shati di Gaza dan pernah menjaringkan lebih 100 gol sepanjang kerjayanya, selain beraksi dalam 24 perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
“Sepanjang kerjaya gemilangnya, Al-Obeid menjadi antara bintang paling bersinar dalam sejarah bola sepak Palestin,” kata PFA dalam kenyataan yang mengecam pembunuhan tersebut.
Kematian beliau menambah kepada angka lebih 1,300 penduduk Palestin yang dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak akhir Mei lalu, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.
Dilahirkan di Gaza City, Obeid juga pernah beraksi untuk kelab Al-Amari Youth Center di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967, namun dilarang menyertai aksi persahabatan di Mauritania pada 2010 atas alasan keselamatan.
“Saya sangat kecewa apabila diberitahu kami dilarang ke luar negara, sedangkan impian setiap atlet adalah mewakili negaranya di pentas antarabangsa.
“Kami hanya mahu bebas bergerak seperti mana atlet lain di seluruh dunia,” katanya pada 2010.
Menurut PFA, sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, seramai 662 individu dalam sektor sukan dan pengakap telah terkorban, termasuk 321 dari komuniti bola sepak. – AGENSI