Aspek perpaduan sejak peringkat awal kanak-kanak terus diberi penekanan oleh pihak sekolah dengan pelbagai pendekatan atau program ke arah semangat penyatuan itu.
Atas semangat perpaduan tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar baru-baru ini mengambil pendekatan unik melaksanakan program rasa-rasa Malaysia bagi memperkenalkan masakan tradisi kaum di negara ini.
Program yang berlangsung di SK Putra itu juga bertujuan membentuk jati diri sejak dari kecil bagi mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.
Ia juga bagi memastikan setiap murid dapat menjiwai maksud sebenar perpaduan di negara ini.
Menerusi program tersebut, seramai 260 murid-murid daripada dua sekolah berkenaan diberi pendedahan menghasilkan aiskrim Malaysia yang tidak asing menyediakan aiskrim tersebut dengan kaedah menggoncang berdasarkan kepada penggabung jalinan mata pelajaran Sains Tahun 5 melalui proses perubahan keadaan jirim.
Selain itu, guru-guru daripada kedua-dua sekolah yang terletak bersebelahan itu turut melakukan pertukaran makanan tradisi seperti roti jala dan tose sebagai simbolik perpaduan di negara ini.
Guru Besar SK Putra, Ahmad Juanda Sakaria berkata, guru-guru memilih pendekatan sebegitu dalam pelaksanaan program tersebut bertujuan memupuk semangat perpaduan dengan menjadikan makanan sebagai simbol penyatuan.
“Kita memang mempunyai banyak perbezaan seperti agama, budaya dan gaya hidup namun jika kita menumpukan pada persamaan, maka kita akan nampak titik temu ke arah penyatuan.
“Menarikya, selain murid-murid menghasilkan aiskrim Malaysia yang sinonim dengan kanak-kanak di negara ini, kami turut menampilkan makanan seperti roti jala dan tosei yang dimakan oleh semua masyarakat termasuk India serta Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar baru-baru ini.
Ahmad Juanda berkata, penyertaan program itu terdiri daripada kalangan murid-murid tahap dua sekolah berkenaan bagi menghasilkan aiskrim Malaysia mengikut warna Jalur Gemilang.
Katanya, sepanjang program tersebut, murid-murid turut diberi pendedahan tentang aspek patriotisme agar mereka dapat menjiwai sambutan kemerdekaan kali ini.
“Menerusi program ini, ada dalam kalangan murid-murid juga berpakaian tradisi masing-masing bagi menyemarakkan lagi suasana semasa penyediaan aiskrim itu,” katanya.
Guru Besar SJKT Kangar, K. Uthaya Kumar pula berkata, kedua-dua sekolah berkenaan sememangnya telah mewujudkan kerjasama pada setiap kali ketibaan bulan kemerdekaan dalam menyemarakkan sambutan berkenaan.
Menurutnya, program sebegini dapat memupuk semangat kebersamaan sekali gus meraikan semangat kepelbagaian kaum di negara ini.
“Hubungan terjalin ini diterjemahkan dalam program ini apabila kami bertukar-tukar makanan sekali gus memupuk semangat kebersamaan. Saya juga berharap kerjasama ini akan berterusan dalam mengukuhkan hubungan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, pihak sekolah juga sememangnya amat menyokong penganjuran program sedemikian dalam menggalakkan lagi interaksi antara murid-murid.
“Semasa sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PDPC), murid-murid ini juga sememangnya banyak berinteraksi kerana kami berkongsi padang yang sama bagi melakukan aktiviti,” katanya.
Sementara itu, seorang murid tahun enam SK Putra, Megat Arrif Megat Hamizy, 12 berkata, dia begitu teruja apabila dapat menghasilkan aiskrim berkenaan dan bertukar-tukar makanan tradisi menerusi program tersebut.
“Selain belajar untuk menghasilkan aiskrim ini, kami juga dapat belajar tentang makanan tradisi yang ada di Malaysia,” katanya.
Seorang murid tahun empat SJKT Kangar, T. Sentamil Nageswari, 10, berkata, dia gembira dapat bersama rakan-rakan sekolah lain untuk menghasilkan aiskrim Malaysia ini.
“Saya juga dapat berkenalan dan menambah kawan-kawan baru di sekolah lain menerusi program sebegini. Selain itu, ia juga memupuk semangat perpaduan sejak kecil,” katanya. – UTUSAN