Pelajar SMK Gudang Rasau cipta I-Bracealert cegah mengantuk

Pelajar SMK Gudang Rasau cipta I-Bracealert cegah mengantuk, tertidur dalam kelas

BARISAN penyelidik I-Bracealert yang dicipta oleh tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau bersama pengetua sekolah berkenaan Asmaiani Nan (dua dari kiri)semasa ditemui di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, Kuantan. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah mengantuk atau kerap tertidur dalam kelas bukan isu remeh yang boleh dipandang ringan terutama ketika pelajar menghadapi tekanan menjelang peperiksaan dan menyedari masalah tersebut, sekumpulan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau Kuantan tampil dengan idea kreatif berasaskan teknologi yang mampu menangani permasalahan tersebut.

Inisiatif itu melibatkan pembangunan alat pintar, I-Bracealert yang berfungsi memantau tahap kepekaan pelajar sewaktu sesi pembelajaran.

Alat tersebut direka khusus oleh tiga pelajar sekolah itu, Husna Aqilah Mohd. Zaidi, 16, Nurkyreen Khairil Shuhaidi, 16, dan Iris Marissa Mazman, 16, bagi memberikan rangsangan ringan apabila pelajar menunjukkan tanda-tanda kehilangan fokus atau keletihan melampau.

 

I-Bracealert turut berjaya merangkul pingat emas dan Anugerah Khas dalam pertandingan Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 yang diadakan baru-baru ini di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, Kuantan.

Penyelidikan inovasi tersebut turut mendapat bimbingan daripada guru SMK Gudang Rasau, Che Siti Asmah Norsusilawati Che Ahmad.

Che Siti Asmah berkata, kajian bermula pada bulan Jun tahun lalu dan disiapkan sehingga ke peringkat prototaip pada bulan Jun tahun ini.

 

“Idea kajian ini tercetus apabila kami mendapati masalah murid tertidur ini semakin meningkat daripada kelas hadapan ke kelas belakang, lebih-lebih lagi ketika musim peperiksaan.

“Kami jalankan satu soal selidik pada bulan Mei tahun lalu, semasa peperiksaan pertengahan tahun dan hasilnya sangat ketara.

“Maka, kami mula membina prototaip pertama pada Mei 2024 dan kemudian menambah baik produk itu sehingga siap sepenuhnya pada Jun 2025,” ujarnya kepada Utusan Pelajar.

I-BraceAlert ialah prototaip pintar yang dicipta untuk membantu pelajar kekal fokus semasa belajar. Dilengkapi dengan tilt sensor pintar, peranti ini mampu mengesan tempoh tidak aktif ketika menulis dan secara automatik menghantar isyarat getaran untuk menyedarkan pelajar agar terus memberi tumpuan.

Menampilkan reka bentuk tanpa wayar, boleh dicas semula, dan mesra pengguna, I-BraceAlert bukan sahaja praktikal, malah selesa dipakai sepanjang sesi pembelajaran. Inovasi ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan sebagai alat bantu belajar generasi baharu.

Che Siti Hasmah berkata, buat masa ini prototaip pertama menggunakan sambungan berwayar antara Bracealert dan pen sensor, tetapi untuk prototaip kedua, mereka membangunkannya menggunakan teknologi tanpa wayar iaitu inframerah atau IR.

“Penyelidikan ini turut mendapat kerjasama daripada pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA, Dr. Ahmad Najmuddin Ibrahim merangkap Ketua Program (Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) FTKPM.

“Kami sedar bahawa untuk menghasilkan projek yang lebih kompleks seperti ini, kami perlukan kepakaran dalam bidang pengaturcaraan.

“Pelajar kami hanya belajar asas mikropengawal (microcontoller) dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi Tingkatan 3, dan ia masih sangat asas,” katanya.

Pihaknya memulakan projek dengan menganjurkan bengkel Arduino di UMPSA Pekan, malah ada juga sesi bengkel secara dalam talian dan melalui saluran YouTube bersama Dr. Ahmad Najmuddin untuk mempelajari pengaturcaraan.

“Beliau juga telah beberapa kali datang ke sekolah untuk membantu kami membina perkakasan secara fizikal.

“Selian itu juga, tanpa sokongan Pengetua SMK Gudang Rasau, Asmaiani Nan yang sama-sama terlibat dalam seminar bersama Dr. Ahmad Najmuddin, penyelidikan ini mungkin tidak akan menjadi realiti,” katanya.

Menurutnya, murid tidak dibenarkan memakai jam pintar di sekolah, oleh itu, mereka mencipta I-Bracealert sebagai satu alternatif.

“Ia terdiri daripada dua bahagian iaitu body controller dan pen sensor yang berfungsi dengan menggunakan teknologi inframerah untuk menghantar isyarat antara dua komponen ini yang mempunyai dua mod, iaitu mod manual dan mod auto.

“Sekiranya menggunakan mod manual, kita boleh pilih jangka masa seperti pendek, sederhana atau panjang.

“Contohnya jika kita pilih butang pendek, dan pen tidak digunakan selama tiga saat, alat ini akan bergetar kerana ia menganggap kita tertidur,” jelasnya.

Tambahnya lagi, masa ini boleh diubah melalui kod pengaturcaraan mengikut keperluan.

“Apa yang lebih menarik adalah mod auto kerana dalam mod ini, alat ini boleh menganalisis corak penggunaan pen dan akan memberi getaran secara automatik berdasarkan keperluan.

“Ia tidak memerlukan tetapan masa kerana corak penggunaan pen berbeza apabila seseorang menulis esei, menjawab soalan objektif, melukis, atau membuat kiraan Matematik.

“Setakat pengetahuan kami, belum ada lagi peranti yang mempunyai fungsi seperti ini kerana kebiasaannya jam pintar hanya boleh ditetapkan untuk bergetar selepas satu tempoh tertentu, contohnya sejam, sedangkan dalam tempoh sejam itu seseorang mungkin telah tertidur beberapa kali,” katanya.

Ujarnya, alat ini juga mampu mengenal pasangan masing-masing melalui kod yang sudah ditetapkan dan menggunakan bateri lithium polymer yang boleh dicas semula serta tahan lama.

“Kami berharap supaya prototaip ini boleh dikembangkan menjadi produk yang boleh dijual di pasaran, dan akhirnya membantu menyelesaikan masalah murid tertidur di sekolah.

“Kami juga ada berbincang dengan Dr. Ahmad Najmuddin untuk menukarkan prototaip ini kepada papan litar Printed Circuit Board (PCB), selepas kod pengaturcaraan dimantapkan dan menghasilkan produk secara lebih formal,” tambahnya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN