PETALING JAYA: Aksi serba tidak menjadi daripada beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang diharap mempamerkan semangat juang tinggi, namun, malangnya mereka gagal berbuat demikian selepas terkandas di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, hari ini.
Melakukan penampilan sulung pada kejohanan berprestij itu, gandingan No. 18 dunia tersebut tewas mudah kepada Gariela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 11-21, 9-21 dalam masa 34 minit.
Pei Kee-Mei Xing yang mempamerkan peningkatan prestasi sejak berada di bawah bimbingan jurulatih, Rosman Razak gagal menonjolkan kekuatan sebenar mereka dengan kesilapan mudah yang menghadirkan mata kepada lawan.
Belum pernah bertemu di mana-mana pertandingan antarabangsa, Pei Kee-Mei Xing tenggelam dengan kegugupan sendiri berbanding pasangan adik beradik yang menghuni ranking ke-19 dunia itu yang mempamerkan aksi bersemangat untuk menang.
Pada peringkat 16 terbaik, Gariela-Stefani dijangka berdepan sama ada beregu Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto atau Gronya Sommerville-Angela Yu dari Australia. – UTUSAN