KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menutup kempen Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris selaku naib juara selepas tewas dalam aksi final kepada gandingan No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Pertarungan sengit yang berlangsung di Arena Adidas itu menyaksikan Pearly-Thinaah kecundang 14-21, 22-20, 17-21 dalam tempoh 83 minit permainan penuh dramatik.
Meskipun gagal menjulang kejuaraan, gandingan ranking No.2 dunia itu tetap berbangga apabila berjaya mara ke pentas final buat julung kalinya di kejohanan paling berprestij itu.
Rekod menunjukkan beregu negara masih belum menemui kemenangan menentang Liu-Tan selepas tewas lima pertemuan terakhir termasuk dua final Jelajah Dunia BWF di Terbuka Jepun dan China sebelum ini.
Bagaimanapun, pencapaian ini tetap mencipta sejarah apabila Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama mara ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia sejak edisi sulung dianjurkan pada 1977.
Terdahulu dalam acara beregu campuran, gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar sejarah apabila merangkul gelaran dunia selepas menewaskan pasangan No.2 dunia dari China.
Tang Jie-Ee Wei mudah melenyapkan pasangan pilihan kedua itu menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-14 dalam masa 40 minit. – UTUSAN