KUALA LUMPUR: Skuad ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengisytiharkan misi besar untuk mengekalkan Piala Agong sekali gus mencipta hatrik selepas dua kali berturut-turut dinobatkan juara.
Keyakinan itu dipacu oleh persiapan rapi yang menyaksikan lebih 80 pemain hadir sesi latihan sebelum senarai muktamad 40 pemain ditentukan.
Pengurus pasukan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Nasri Mansor menegaskan PDRM mendapat sokongan penuh semua rakan sukan selain bimbingan kejurulatihan berkualiti.
“Dari aspek pengurusan, kita himpunkan kekuatan rakan sukan PDRM untuk menghadapi Piala Agong dan Piala Rujirawongse.
“Bahagian pemilihan pula saya serahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, K. Dineshvaran yang cukup berpengalaman dalam arena ragbi negara,” kata Nasri kepada pemberita selepas majlis minum petang sesi pengenalan pasukan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
PDRM kini giat berlatih di PULAPOL Kuala Lumpur dan sudah mengadakan beberapa aksi persahabatan termasuk menentang Johor.
Mereka juga bakal turun ke Chiang Mai, Thailand untuk Piala Rujirawongse menggunakan khidmat anggota PDRM sepenuhnya bagi menguji keserasian pasukan.
Menurut Nasri, disiplin, semangat sepasukan dan keyakinan adalah resepi utama PDRM mempertahankan takhta serta melengkapkan hatrik kejuaraan.
“Kita tidak tertekan sebagai juara bertahan kerana menggunakan psikologi sonsang. Tekanan itu sebenarnya lebih kepada pasukan lawan untuk menentang PDRM yang datang dengan reputasi juara.
“Kita kena berdiri megah sebagai juara dan insya-Allah dengan sokongan pucuk pimpinan serta rakan sukan PDRM, hasrat untuk hatrik dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN