SELAYANG: Pendatang baharu Liga Super, DPMM FC, hampir mencipta kejutan pada aksi sulung musim 2025/26 sebelum PDRM FC bangkit mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Skuad kendalian Mcallister James Reynolds bermula garang apabila penyerang import, Muhammad Ramadhan Sananta membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil hantaran lintang tepat rakan sepasukan.
Empat minit kemudian, Miguel Angelo Agustinho Oliviera menambah derita tuan rumah apabila menyudahkan umpanan cantik untuk meletakkan DPMM FC selesa mendahului 2-0.
PDRM FC berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-24 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Park Tae Su dijatuhkan penjaga gol lawan, Kristijan Naumovski di dalam kotak penalti.
Namun, sepakan Ahmad Nawef Abdel Aziz Israiwah berjaya dibaca Naumovski untuk mengekalkan gawang DPMM FC utuh.
Memasuki babak kedua, PDRM FC tampil lebih agresif dan usaha mereka berbaloi apabila Tae Su menanduk masuk hantaran lintang pada minit ke-68, sebelum sekali lagi meledak empat minit kemudian bagi mengikat kedudukan 2-2.
Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan di minit-minit akhir, namun keputusan kekal sehingga wisel penamat.-UTUSAN