Kerajaan PN Perlis tanpa wakil Pas

Kerajaan PN Perlis tanpa wakil Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Episod panas politik Perlis berlarutan selepas Pas melakukan langkah balas tidak menganggotai barisan Exco kerajaan negeri yang bakal dilantik Menteri Besar baharu selain empat Exco sedia ada melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, Pas akan mengekalkan keharmonian di Perlis dan menyokong kerajaan baharu pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Namun tidak akan memegang sebarang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas yang tinggal itu juga sepakat akur dengan arahan Pas Pusat.

Mereka ialah Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer); Haziq Asyraf Dun (Beseri); Asrul Aimran Abd. Jalil (Kayang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Razali Saad (Simpang Empat) dan Mohd. Shukri yang juga bekas Menteri Besar (Sanglang). Empat dari ADUN berkenaan sebelum ini adalah Exco kerajaan negeri.

Langkah terbaharu Pas itu mungkin memberi tamparan kepada kestabilan kerajaan negeri pentadbiran Abu Bakar sebagai Menteri Besar baharu yang tidak sampai beberapa hari mengangkat sumpah jawatan berkenaan.

Wan Badariah salah seorang ADUN Pas memberitahu Utusan Malaysia, enam ADUN dari Pas akur arahan Pas Pusat dengan tidak akan kekal sebagai Exco atau menganggotai barisan Exco di bawah Menteri Besar baharu.

Beliau memberitahu, mereka akan memainkan peranan untuk semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri selain menyokong sebarang usaha yang membawa kebaikan kepada rakyat dan kemajuan negeri ini.

“Selepas ini, kami akan ada masa yang lebih di kawasan masing-masing dan meneruskan gerak kerja yang telah kami buat selama ini,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas tidak akan menganggotai barisan Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri pada Khamis lalu.

Kata Takiyuddin, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri.

Utusan Malaysia turut menghubungi Mohd. Shukri, Asrul Aimran, Haziq, Muhammad Azmir namun semuanya tidak menjawab panggilan manakala Razali enggan mengulas lanjut.

Ahad lalu, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mohd. Shukri yang melepaskan jawatan atas faktor kesihatan.

Kemelut politik di Perlis meletus susulan lapan ADUN membabitkan lima dari Bersatu dan tiga daripada Pas menantandatangani akuan bersumpah menolak sokongan terhadap Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar.

Malah, ia semakin panas dan berlarutan sehingga menyaksikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal melepaskan jawatan.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perlis masih di bawah panji PN.

“Perlis masih Perikatan Nasional. Keputusan DYMM Tuanku Raja Perlis dihormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN