PARLIMEN: Malaysia perketat kawalan Sijil Tempasal

PARLIMEN: Malaysia perketat kawalan Sijil Tempasal

MENARA MITI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pindah kapal (transhipment) akan terus diperketat bagi mengelakkan Malaysia dijadikan pusat untuk mengelak tarif tinggi yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, walaupun aktiviti pindah kapal secara asasnya tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara kerana ia sebahagian daripada strategi perniagaan global, namun sebarang penyelewengan dalam Sijil Tempasal (Certificate of Origin-COO) bagi tujuan mengelak duti import adalah satu kesalahan serius.

“Berkuat kuasa 6 Mei 2025, MITI mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (Non Preferential Certificate of Origin-NPCO) bagi produk Malaysia yang dieksport ke pasaran AS yang sebelum ini dikeluarkan oleh badan perniagaan.

“Antara kriteria NPCO yang ditambah baik termasuk keperluan barangan diperoleh atau dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, sekurang-kurangnya 25 peratus kandungan tempatan serta perubahan ketara dalam klasifikasi tarif,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung kadar tarif yang dikenakan AS ke atas barangan pindah kapal serta kebimbangan sama ada langkah tersebut menjejaskan jumlah pengendalian kargo di pelabuhan utama negara.

Pada 31 Julai lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan Arahan Eksekutif baharu bertajuk Further Modifying the Reciprocal Tariff Rates yang menetapkan kadar tarif timbal balas 19 peratus terhadap Malaysia berkuat kuasa 7 Ogos 2025 (tarikh AS).

Arahan itu turut memperincikan produk yang dikenal pasti Jabatan Kastam Diraja Malayia (Kastam) dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) sebagai pindah kapal boleh dikenakan tarif setinggi 40 peratus menggantikan kadar asal.

Bagi memastikan pematuhan, MITI berkata, beberapa langkah telah diambil termasuk audit dan verifikasi terhadap syarikat pengeksport, pemeriksaan kilang, kerjasama erat dengan pihak berkuasa AS khususnya CBP serta memberi amaran rasmi kepada industri mengenai kesalahan mengisytiharkan maklumat tempasal palsu.

“Cubaan mengisytiharkan maklumat tempasal yang tidak benar bukan sahaja menjejaskan reputasi negara, malah boleh mengundang risiko sekatan perdagangan.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini selain memastikan Malaysia kekal sebagai hab logistik berintegriti, telus dan dipercayai di rantau Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×