Inflasi masih terkawal selepas peluasan SST

PARLIMEN: Inflasi masih terkawal selepas peluasan SST

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Unjuran inflasi bagi tahun ini adalah di antara 1.5 hingga 2.3 peratus iaitu tahap inflasi yang sederhana dan terkawal, walaupun peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan sejak 1 Julai lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada masa sama, pendekatan bersasar dibuat agar isi rumah B40 tidak terjejas.

Beliau berkata, langkah semakan semula kadar SST dan peluasan skop cukai perkhidmatan adalah bagi meningkatkan hasil kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Ini termasuk membiayai perbelanjaan sosial negara termasuk subsidi bersasar, bantuan tunai serta menambah baik perkhidmatan jagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam.

“Di samping itu, peluasan asas hasil adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal bagi memastikan tahap defisit dan hutang negara kekal pada paras yang lebih mampan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai justifikasi kerajaan menaikkan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus terhadap sektor tertentu sedangkan kadar inflasi isi rumah B40 kekal tinggi.

Amir Hamzah berkata, pengenaan cukai SST dibuat secara bersasar seperti semakan semula kadar cukai jualan melibatkan barang pilihan dan bukan keperluan asas rakyat.

“Pengecualian ke atas barangan keperluan asas terus dikekalkan. Ini meliputi makanan ruji, ubat-ubatan, buku, serta pelbagai barangan penting yang lazim digunakan oleh rakyat.

“Cukai perkhidmatan ke atas kesihatan dan pengajian tinggi hanya dikenakan kepada bukan warganegara bagi memastikan rakyat tidak dibebankan apabila menggunakan perkhidmatan asas tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN