KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 bagi bacaan kali pertama mendapat bantahan beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 54 menggesa supaya bacaan kali kedua atau sesi perbahasan pada minggu depan ditangguhkan.
Beliau juga menekankan bahawa RUU itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“RUU ini sudah menjadi perbualan awam yang hangat. Namun, maklumat dan penerangan yang jelas mengenai kandungannya tidak diberikan sehingga menimbulkan kontroversi.
“Di tangan saya terdapat surat daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang memohon bacaan kali kedua ditangguhkan sehingga semua isu berbangkit dalam sesi libat urus dapat diselesaikan,” katanya.
Walaupun terdapat gesaan itu, RUU tersebut tetap dibentangkan oleh Kor Ming sebaik selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menggesa penangguhan RUU itu bagi memberi ruang dan masa secukupnya kepada Ahli Parlimen untuk meneliti secara terperinci setiap seksyen yang diperuntukkan.
Beliau mendakwa draf RUU hanya diserahkan kepada Ahli Parlimen pada pagi Khamis sebelum dibentangkan, menyebabkan masa yang diberikan terlalu singkat untuk pemeriksaan menyeluruh.
Sebelum ini, media melaporkan inisiatif pembaharuan semula bandar di bawah RUU Pemulihan Bandar dikawal oleh Akta Hakmilik Strata 1985 yang menetapkan bahawa persetujuan sebulat suara semua pemilik harta di bawah Seksyen 57 diperlukan sebelum badan pengurusan boleh bertindak sebagai pemegang amanah bagi melaksanakan projek pembangunan semula.
Di bawah RUU itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan tahap persetujuan berperingkat berdasarkan keadaan dan umur bangunan iaitu 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, 80 peratus untuk bangunan di bawah 30 tahun dan 51 peratus untuk bangunan yang diklasifikasikan sebagai usang atau tidak selamat didiami. – UTUSAN