SEOUL: Hanya beberapa bulan diberi mandat, bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon akhirnya dipecat Ulsan HD selepas gagal membuahkan hasil seperti dijanjikan.
Kelab gergasi Korea Selatan itu tidak menunggu lama untuk membuat keputusan drastik susulan kegagalan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Pan Gon yang pulang ke tanah air selepas mencipta kebangkitan bersama Harimau Malaya sebelum ini, ternyata tidak mampu mengulangi sentuhan emasnya bersama Ulsan.
Menurut laporan Sports Seoul, Pan Gon gagal memenuhi jangkaan tinggi kelab dan penyokong yang mengharapkan dominasi Ulsan dalam pentas tempatan dan Asia.
Susulan pemecatan tersebut, Ulsan kini dikatakan sedang dalam rundingan akhir untuk melantik bekas pengendali Indonesia, Shin Tae-yong sebagai pengganti.
Tae-yong bukan nama asing di pentas Asia, malah terkenal dengan kebolehan taktikal dan sentuhan ajaib membangunkan pemain muda.
Kehadiran Tae-yong dijangka bakal menyuntik nafas baharu dan membawa Ulsan kembali menjadi kuasa besar bola sepak Asia. – AGENSI