MONTREAL: Naomi Osaka mara ke separuh akhir Terbuka Kanada selepas membenam pilihan ke-10, Elina Svitolina 6-2, 6-2 dalam masa 68 minit.
Kemenangan itu membuka laluan buat juara Grand Slam empat kali itu bertemu Clara Tauson dari Denmark dalam perlawanan separuh akhir hari ini.
“Saya sangat gembira dan seronok bermain di sini… saya rasa saya akan dapat status pilihan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) nanti,” kata Osaka.
Tauson pula mendedahkan dia bermain dengan semangat luar biasa selepas datuknya meninggal dunia dua hari lalu.
“Saya mahu menang untuknya… saya harap dia sedang menyaksikan saya dari atas,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Tauson mengejutkan juara Terbuka Australia, Madison Keys 6-1, 6-4 dan sebelum itu menyingkirkan pilihan kedua, Iga Swiatek di pusingan sebelumnya.
Osaka dan Tauson pernah bertemu di final Auckland tahun ini namun Osaka menarik diri selepas menang set pertama kerana kecederaan.
“Saya gembira kerana kali ini saya sihat sepenuhnya untuk menentang Tauson,” kata Osaka.
Dia kini memburu gelaran WTA ke-8 dalam karier dan pertama sejak Terbuka Australia 2021, serta belum memenangi gelaran di luar Grand Slam sejak Terbuka China 2019.
Dalam satu lagi separuh akhir, juara Wimbledon 2022, Elena Rybakina akan menentang pemain remaja sensasi tuan rumah, Victoria Mboko yang berusia 18 tahun. – AGENSI