BIRMINGHAM: Newcastle United gagal memanfaatkan kelebihan pemain apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Aston Villa dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park, malam tadi.
Pertahanan tuan rumah, Ezri Konsa dilayangkan kad merah pada minit ke-66 selepas menjatuhkan Anthony Gordon yang sedang meluru ke arah gawang.
“Kami tidak menguasai perlawanan dari segi peluang seperti yang diinginkan, mungkin terlalu gopoh untuk menjaringkan gol.
“Jika anda tidak benar-benar bersatu dalam Liga Perdana, ia akan jadi sangat sukar, namun saya rasa hari ini kami sudah menjawab beberapa persoalan dari segi semangat pasukan,” kata bos Newcastle, Eddie Howe.
Ketiadaan penyerang utama Alexander Isak jelas dirasai apabila The Magpies gagal menemui sentuhan pemusnah di depan gawang walaupun menguasai permainan.
Isak, 25, dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool selepas bidaan 110 juta pound (RM628 juta) ditolak awal bulan ini, malah difahamkan enggan berlatih bersama skuad sejak pramusim.
Anthony Elanga yang dibeli 55 juta pound (RM314 juta) dari Nottingham Forest mensia-siakan peluang keemasan untuk gol sulung apabila rembatan tepatnya ditepis penjaga gol baharu Villa, Marco Bizot.
Newcastle terus buntu memburu jaringan kemenangan sehingga wisel penamat, manakala Villa yang beraksi dengan 10 pemain kekal bertahan untuk meraih satu mata berharga. – AGENSI