JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji aksi anak buahnya yang bermain corak permainan bertenaga untuk menang 3-1 ke atas Lion City Sailors pada perlawanan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, malam tadi.
Munoz, 44, berkata, pemain perlu mengekalkan rentak permainan berintensiti tinggi itu pada perlawanan seterusnya bagi mencapai kemenangan 100 peratus di peringkat Kumpulan B, kejohanan itu.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, pemain berjaya memberi tekanan kepada pasukan kendalian Aleksandar Rankovic itu hingga memaksa lawan melakukan kesilapan yang membawa kepada dua jaringan gol awal.
“Pada awal permainan, kita bermain dengan baik dan mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan jumlah serangan dilakukan. Kita juga menguasai permainan dengan baik.
“Bagaimanapun, bukan mudah untuk kita mengekalkan intensiti permainan sepanjang 95 minit seperti yang dilakukan pada babak pertama namun kita berjaya mengekang kemaraan pasukan lawan,” katanya selepas perlawanan.
Munoz berkata, JDT seharusnya memberi tumpuan penuh pada perlawanan tersebut sehingga wisel penamat tanpa mengira sama ada berada di kedudukan selesa atau tidak.
Katanya, kealpaan itu menyebabkan gawang Harimau Selatan dibolosi pada penghujung permainan menerusi pemain gantian, Shawal Anuar yang melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
“Saya berharap jaringan itu memberi pengajaran bagi pemain untuk lebih berdisiplin dan memberi komitmen 100 peratus di atas sepanjang perlawanan,” jelasnya.
Munoz turut mempertahankan Jairo Da Silva yang mempamer prestasi terumbang-ambing setelah mensia-siakan beberapa peluang terhidang di depan pintu gol Lion City.
“Jairo merupakan pemain penting buat JDT dan penyerang kelahiran Brazil itu memberi segalanya di padang selain sering membantu barisan serangan dengan corak permainan ofensif.
“Saya tahu kemampuannya sebagai penyerang berbisa, mungkin perlawanan ini bukan malam buat dirinya namun yakin dia akan kembali mendapat sentuhan penyudahnya,” ujarnya.
Dalam perlawanan Kumpulan B yang seterusnya, JDT akan menyambut kunjungan Bangkok United pada aksi kedua ACC Piala Shopee pada 25 September depan.-UTUSAN