JOHOR BAHRU: Selepas tiga tahun menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain kelahiran Sepanyol, Juan Muniz meninggalkan kelab juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
Berita perpindahan pemain itu disahkan oleh kelab Harimau Selatan menerusi Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Muniz memainkan watak penting ketika membantu pasukan memenangi kejuaraan quadruple (empat piala) semusim pada musim lalu.
“JDT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Juan Muniz atas komitmen dan dedikasi penuh beliau sepanjang tiga musim bersama kelab.
“Muniz merupakan sebahagian daripada skuad JDT yang mencipta sejarah meraih empat kejuaraan tanpa kalah untuk tiga musim berturut-turut, menjadikan jumlah kejuaraan yang dimenanginya sebanyak 12 piala,” demikian dalam hantaran menerusi Facebook Johor Southern Tigers.
Muniz yang menyertai Harimau Selatan pada permulaan musim 2023 telah membuat 73 penampilan, mencatatkan 32 bantuan gol dan menjaringkan 25 gol.
Pemain tengah yang merupakan pakar sepakan percuma itu menjaringkan dua gol dari situasi bola mati apabila menjaringkan hatrik ketika kemenangan 6-1 ke atas Selangor FC dalam final Piala FA 2024/25. – UTUSAN