RAWANG: Majlis Sukan Negara (MSN) menanti keputusan rasmi Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) sebelum memuktamadkan jumlah dana yang akan disalurkan bagi persiapan skuad berbasikal negara ke Sukan SEA 2025 Thailand.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, penangguhan itu dibuat berikutan badan induk tersebut bakal mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis PKBM esok bagi memutuskan perancangan, barisan pelumba dan dana yang diperlukan ke temasya dwitahunan itu.
“PKBM telah pun membuat pemilihan awal seramai empat pelumba masing-masing daripada TSG (Terengganu Cycling Team) dan MPC (Malaysia Pro Cycling) dan seorang daripada pasukan kebangsaan.
“Namun, PKBM akan membuat keputusan akhir apabila mereka mengadakan mesyuarat ahli majlis pada Sabtu ini dan selepas itu mereka akan mengesahkan senarai pelumba tersebut.
“Kemudian barulah PKBM akan berunding dengan MSN untuk persiapan pasukan kebangsaan ke arah Sukan SEA di Thailand nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ketika ditanya jumlah bajet yang diminta oleh PKBM daripada MSN menjelang Sukan SEA 2025, Jefri memberitahu semuanya akan ditentukan selepas mesyuarat tersebut.
“Perlu diingatkan paling penting perancangan mereka dan daripada situ kita akan terjemahkan kepada peruntukan. Jika tiada perancangan sukar untuk buat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan berjumlah RM250,000 yang diminta tidak dapat dipenuhi, mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya itu.- UTUSAN