MIAMI: Harapan Inter Miami untuk mara ke suku akhir Leagues Cup terjejas apabila bintang utama mereka, Lionel Messi disahkan tidak akan diturunkan menentang Pumas UNAM.
Ketua jurulatih, Javier Mascherano memaklumkan Messi mengalami kecederaan otot kecil di bahagian atas paha kanan ketika membantu pasukannya menewaskan Necaxa Sabtu lalu.
“Dalam berita buruk ini, masih ada sisi positifnya. Dia biasanya pulih dengan cepat dan baik, tapi esok dia pasti tidak akan bermain,” kata Mascherano.
Messi kini mendahului carta penjaring terbanyak MLS dengan 18 gol musim ini dan menjadi tonggak utama ketika Miami menjuarai Leagues Cup 2023.
Inter Miami perlu menang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Pumas bagi memastikan tempat ke suku akhir kejohanan yang melibatkan kelab MLS dan Liga MX itu.
Sekiranya Miami layak ke pusingan kalah mati, Messi dijangka mempunyai tempoh dua minggu untuk pulih sebelum aksi suku akhir.
Perlawanan MLS seterusnya buat Miami adalah menentang Orlando pada Ahad ini. – AGENSI