BRNO: Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya kedudukan podium sebelum tamat musim 2025 selepas dia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di Brno, bulan lalu.
Martin mengalami beberapa siri kecederaan serius dan isu di luar litar pada musim sulungnya bersama Aprilia berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) buat kali pertama tahun ini pada kedudukan ketujuh di Republik Czech.
Walaupun menamatkan perlumbaan 15.820 saat di belakang pemenang perlumbaan, Marc Marquez, Martin berkata, dia dapat merasai potensi besar pada jentera RS-GP dan berasa teruja dengan kepantasan yang ditunjukkannya di pertengahan saingan.
“Misi utama ialah untuk menamatkan perlumbaan, membuat sebanyak mungkin pusingan dan memahami apa yang boleh saya perbaiki untuk masa depan. Jadi saya sangat gembira.
“Saya mula rasa seperti berada di rumah di sini. Sekarang kami perlu bina keyakinan bersama. Saya tahu mereka sangat percaya pada saya dan saya juga percaya pada mereka serta projek ini.
“Jadi saya rasa sangat yakin bahawa potensinya memang besar. Anda boleh lihat pada Marco (Bezzecchi). Saya hanya perlu rapatkan jurang kepadanya.
Martin turut melakukan beberapa perubahan daripada segi pelarasan motosikal dan gaya tunggangan sepanjang hujung minggu di Brno, mendedahkan bahawa pendekatan yang lebih lancar memberi kesan kepada ketahanan tayar semasa perlumbaan.
“Pada bahagian tengah perlumbaan, saya mampu buat kepantasan seperti pelumba tempat ke-3 atau ke-4 dalam 54.6-7 saat. Jadi saya berpuas hati dengan itu,” katanya. – AGENSI