Petronas perkukuh pengeluaran jamin keselamatan bekalan negara

Petronas perkukuh pengeluaran jamin keselamatan bekalan negara

MOHD. NAZLEE RASOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keselamatan bekalan negara terus menjadi fokus utama Petronas dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global, khususnya melibatkan sektor tenaga dan makanan.

Naib Presiden Pembangunan, Upstream (Huluan) Petronas, Mohd. Nazlee Rasol berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kestabilan bekalan domestik sentiasa terjamin. 

“Langkah ini termasuk menilai strategi terbaik untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam tempoh terdekat.

“Ketika ini, usaha giat dijalankan untuk mengenal pasti kaedah paling cepat dan efektif bagi meningkatkan pengeluaran. 

“Selain itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi meneliti secara menyeluruh pendekatan untuk memperkukuh pengeluaran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan bertajuk mempercepatkan pembangunan untuk keselamatan tenaga: mempercepat strategi lapangan dalam dunia yang tidak menentu sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dari segi struktur semasa, Mohd. Nazlee berkata, kira-kira 70 peratus pengeluaran diperuntukkan untuk pasaran domestik, manakala baki 30 peratus dieksport ke luar negara. 

“Namun, susulan ketidaktentuan global, penilaian semula sedang dilakukan bagi menentukan sama ada dasar eksport sedia ada perlu disesuaikan demi menjamin keperluan tempatan,” katanya.

Dalam sektor gas, negeri Sarawak dikenal pasti sebagai antara kawasan yang mempunyai sumber yang banyak serta portfolio kukuh. 

“Walau bagaimanapun, perkembangan geopolitik di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada rantaian bekalan global, sekali gus memerlukan langkah mitigasi yang lebih proaktif.

“Sehubungan itu, kerjasama berterusan antara pemain industri dan kerajaan dilihat penting dalam memastikan keselamatan bekalan negara kekal stabil serta tidak terjejas oleh faktor luaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×