PETALING JAYA: Malaysia dan Australia terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957 menerusi kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, pertahanan serta keselamatan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles hari ini sebagai usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Katanya, pertemuan tersebut membuka ruang pertukaran pandangan untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama.
“Australia mengalu-alukan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN terutamanya dalam mengendalikan konflik Myanmar, isu gencatan senjata Kemboja-Thailand serta kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN
“Malaysia turut menyambut baik hasrat Kerajaan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin di Sesi Ke-80 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September kelak,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook, hari ini. – UTUSAN










