KRW 'lulus' beraksi di Liga A1 Semi Pro

KRW ‘lulus’ beraksi di Liga A1 Semi Pro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelantan Red Warriors (KRW) tidak berdepan masalah untuk beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk bola sepak negara itu memohon penjelasan terperinci mengenai status KRW daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA mengesahkan kelab baharu dari Pantai Timur itu dibenarkan beraksi di Liga A1 tanpa sebarang masalah, termasuk tidak dikenakan sekatan pendaftaran atau perpindahan pemain.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata hasil maklum balas daripada FIFA tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas KRW dan kelab itu juga tidak berdepan sekatan perpindahan pemain.

“Hasil maklum balas diterima daripada FIFA memaklumkan tiada sekatan perpindahan pemain dikenakan pada masa ini.

“Ini sekaligus membolehkan KRW untuk mendaftarkan mana-mana pemain, sama ada tempatan atau antarabangsa, bagi menyertai mana-mana liga bola sepak di Malaysia,” kata Noor Azman kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, status KRW sama ada dapat beraksi di Liga A1 atau tidak menjadi tanda tanya, berikutan surat FAM bertarikh 5 Ogos lalu yang memberikan kebenaran kepada KRW untuk menjalankan semula aktiviti bola sepak, namun tidak menyatakan secara jelas sama ada pasukan itu bebas daripada sekatan pendaftaran pemain.

Oleh itu, FAM menghantar surat susulan kepada FIFA pada 6 Ogos 2025 bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan status sekatan perpindahan pemain terhadap KRW.

Noor Azman turut menegaskan bahawa FAM akan terus memantau situasi melibatkan KRW dan sedia memberi bantuan bagi melancarkan proses sebagaimana ditetapkan.

“FAM akan terus memantau perkembangan ini dan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan segala proses berjalan mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan FIFA,” katanya.

Untuk rekod, isu KRW tercetus apabila kelab itu didakwa tidak mematuhi prosedur penubuhan kelab baharu dan mempunyai hubungan dengan Kelantan FC sebelum ini.

Disebabkan masalah tersebut, KRW terpaksa melepaskan aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro yang telah bermula minggu lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN