KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors (KRW) menggunakan tiga pemain import bagi mengharungi cabaran Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026.
Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, salah seorang daripada pemain import yang diikat pasukan itu sudah diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, kelmarin.
“Pada perlawanan ini kita turunkan Kayden Craig Soper yang berasal dari Australia dan pernah bersama Manjung City FC . Kita pilih dia atas dasar kerajinannya dan sentiasa bergerak mencari ruang di atas padang.
“Kita juga sedang menanti ketibaan penyerang dari Cameroon yang kini sedang bermain bersama sebuah kelab di Kemboja. Difahamkan sudah mendapat visa dan akan tiba di Kota Bharu dalam sehari atau dua hari lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia
Irfan Bakti berkata, seorang lagi pemain import yang bakal menyertai KRW berasal dari England dan dijangka tiba di Malaysia minggu hadapan.
Beliau memberitahu, bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Matyo masih jauh daripada prestasi sebenar dan perlu diberikan masa untuk membina tahap kecergasan diperlukan sebelum diserap secara tetap ke dalam pasukan.
“Matyo baru melaporkan diri dan mengikuti latihan bersama pasukan pada dua hari lalu. Masih jauh perjalanannya untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan dan prestasi sebenar sebelum diserap ke dalam pasukan.
“Saya perlu beri ruang kepadanya. Namun kita turunkan dia untuk 10 minit terakhir perlawanan malam ini untuk memberi sedikit aura semangat kepada pasukan dan penyokong,” katanya.
Sementara itu, Irfan memerlukan beberapa perlawanan persahabatan pra-musim lagi sebelum mengenal pasti dan menetapkan kesebelasan utama KRW. – UTUSAN









