KRW FC perlukan penyerang tulen

KRW FC perlukan penyerang tulen

AMEERUL Eqhwan Mohd. Fauzi menangkap bola bagi menyelamatkan gawang golnya daripada dibolosi penyerang Kelantan Red Warrios pada Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW) perlu mencari seorang penyerang tulen jika mahu meraih kemenangan dalam saingan Liga A1 Semi Pro.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, setakat ini pasukannya masih belum memiliki penyerang tulen yang boleh menterjemahkan setiap peluang kepada jaringan gol.

“Kita cuma ada pemain-pemain yang rajin mencari ruang dan peluang menjaringkan gol. Malangnya, kerajinan sahaja tidak cukup untuk memenangi sesebuah perlawanan kompetitif 

“Kita perlu memperkemaskan kembali barisan pemain bagi perlawanan seterusnya, dengan perlawanan menentang Seoul Phoenix FC mungkin berlangsung di Kota Bharu,” katanya.

Kelmarin, skuad kendalian Irfan Bakti seri 1-1 dengan UM-Damansara United dalam aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mengulas aksi itu, Irfan Bakti memberitahu, pemain KRW beraksi dibawah keupayaan sebenar dan selain berdepan tekanan apabila ada pemain yang tidak dapat diturunkan saat akhir.

Katanya, antara nama dikeluarkan daripada senarai adalah Otis Khan yang sepatutnya menggalas tugas sebagai ketua pasukan dan ia diakui sedikit mengganggu tumpuan pemain.

“Masalah utamanya adalah pemain-pemain import kita belum memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Padahal kita sudah lama menguruskan soal ITC pemain dan situasi itu cukup menggusarkan. Nasib baik Emmanuel Mbarga boleh diturunkan. Kalau tidak ‘masak’ kita,” ujarnya.

Irfan Bakti memberitahu, dalam situasi agak genting itu beliau hanya mampu memberikan kata-kata semangat kepada barisan pemain untuk menghidupkan perjuangan mereka.

“Boleh dikatakan untuk 10 minit awal barisan pemain KRW beraksi dalam keadaan sugul tetapi secara umum, saya berpuas hati kerana pemain-pemain memberikan persembahan berkarakter. 

“Hasilnya kita berjaya mencipta banyak peluang di hadapan gawang lawan tetapi masalahnya kita tiada penjaring atau ‘goal poacher’. Bagi perlawanan akan datang saya yakin pengurusan akan selesaikan masalah ITC pemain dalam sehari atau dua hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN