Kristoff jadi taruhan Uno-X di LTdL 2025

Kristoff jadi taruhan Uno-X di LTdL 2025

Alexander Kristoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah di penghujung karier, Alexander Kristoff tetap menjadi sandaran utama pasukan Uno-X Mobility untuk memburu kemenangan pada edisi ke-29 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pelumba berusia 38 tahun dari Norway itu hadir dengan rekod 98 kemenangan sepanjang 20 tahun karier profesional, termasuk empat peringkat Tour de France serta kejuaraan klasik berprestij Milan-San Remo, Gent-Wevelgem dan Tour of Flanders.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata kehadiran Kristoff di LTdL tetap menjadi tumpuan besar kerana pengalaman luasnya di Grand Tour dan perlumbaan klasik monumen masih mampu menghadirkan kemenangan.

“Walaupun Kristoff sudah melepasi era emasnya, kelibatnya di LTdL sudah cukup untuk menarik tumpuan ramai.

“Dengan pengalaman luas berkayuh di Grand Tour dan perlumbaan klasik monumen, tidak mustahil dia terus menambah koleksi kemenangannya di Malaysia,” kata Emir.

Selain Kristoff, Uno-X turut menaruh harapan kepada Raja Pecut LTdL 2022, Erlend Blikra, bagi merebut semula jersi oren selepas kali terakhir menang di Alor Setar tiga tahun lalu.

Laluan panjang seperti Gerik–Pasir Puteh, Melaka–Medini dan Tangkak–Kuala Lumpur dilihat sesuai dengan kepakaran Kristoff, manakala Blikra dijangka mencuri tumpuan dalam perebutan jersi pecut menentang barisan pelumba handalan.

“Pada penampilan kali pertama 2022 dulu, pelumba terbaik Uno-X adalah Torstein Traeen yang menduduki tangga ketiga individu keseluruhan, di belakang juara Ivan Sosa (Movistar) dan Hugh Carthy (EF Education) manakala Blikra menang Peringkat 6 di Alor Setar.

“Pasti Uno-X tampil dengan lebih bersedia pada tahun ini,” katanya.

Pasukan Norway itu turut dibarisi Armand Grondahl Jansen, Anders Halland Johanessen dan Johannes Kulset yang diyakini mampu mencabar jersi hijau keseluruhan.

LTdL 2025 sejauh 1,243.5 kilometer (km) merentasi 12 negeri akan membuka tirai di Pulau Langkawi pada 28 September sebelum berakhir di KLCC pada 5 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN